Melaka United diikat UiTM di Stadium Hang Jebat

Antara aksi menarik pertemuan Melaka United menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat pada Ahad. - Foto Melaka United Football Club
Antara aksi menarik pertemuan Melaka United menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat pada Ahad. - Foto Melaka United Football Club
A
A
A

MELAKA United gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila diikat 1-1 oleh kelab tercorot liga, UiTM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam ini.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi S Kumaahran pada minit ke-44, namun UiTM berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi Victor Nirennold.

Bagaimanapun keputusan itu tidak banyak membantu The Lions, yang hampir pasti tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan, apabila menduduki tempat ke-12 dengan hanya enam mata selepas 18 perlawanan.

Melaka United berada di kedudukan kesembilan berdasarkan kelebihan jaringan walaupun berkongsi 17 mata bersama Sri Pahang FC (10), manakala Perak FC kekal di zon penyingkiran apabila berada di tempat ke-11 dengan 13 mata selepas 19 perlawanan.

Sementara itu dalam saingan Liga Premier menyaksikan Sarawak United FC kembali merampas kedudukan teratas carta selepas membenam skuad Projek FAM-MSN 4-0 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Skuad kendalian E Elavarasan membuka jaringan menerusi Sandro Da Silva pada minit ke -21, sebelum Taylor Francis George Regan (minit ke-42), Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra (minit ke-84) dan Nur Shamie Iszuan Amin (minit ke-89) menyumbat bola ke gawang lawan.

Sarawak United berada di puncak carta dengan 34 mata selepas 16 perlawanan, kelebihan dua mata berbanding Negeri Sembilan, diikuti Terengganu II (29) dan JDT II (27).

Dalam satu lagi perlawanan, Perak FC II pula gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, apabila tewas 0-3 kepada PDRM FC di Stadium Perak, Ipoh, hasil jaringan pemain import dari Jepun, Bruno Suzuki pada minit ke-12 dan 29, serta Mohamad Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-21.

Artikel Berkaitan: