X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Keluarga Malaysia dapat satukan semua pihak: Pas

Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A

SHAH ALAM- Pendekatan Keluarga Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bertujuan untuk menyatukan semua pihak dalam menghadapi wabak Covid-19 dan krisis ekonomi negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas turut menyambut baik ruang tawaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada kepimpinan pembangkang bagi menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

“Pas menyambut baik ucapan dan gesaan yang diberikan oleh Ismail Sabri dalam sidang ucapan Perdana Menteri kesembilan.

“Harapan dan kesungguhan Perdana Menteri agar seluruh kepimpinan politik dapat menumpukan perhatian bagi mewujudkan ketenangan dan keharmonian.

“Ia agar kerajaan memberi fokus utama kepada menangani pandemik Covid-19 dan ekonomi rakyat serta negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantu masyarakat menerusi konsep Keluarga Malaysia: PM

PM tawar pembangkang sertai MPN, Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19

Pada Ahad, Ismail Sabri menggalakkan usaha sepakat membantu sesama masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum melalui konsep Keluarga Malaysia.

Ujar beliau, konsep berkenaan diambil kerana baginya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

Selain itu, Ismail Sabri menawarkan kerjasama dengan blok pembangkang menerusi MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Beliau berkata, tawaran itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan.

Tuan Ibrahim turut menyeru agar rakyat Malaysia bersama-sama bekerja sebagai satu pasukan demi negara tercinta.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!