'Tubuh semula PH Plus, tukar ketua pembangkang'

Ahmad Asri Talib. - Foto FB Ahmad Asri
Ahmad Asri Talib. - Foto FB Ahmad Asri
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) Bukit Bintang mendesak pembangkang menubuhkan semula Pakatan Harapan (PH) Plus dan melantik pengerusi PH Plus yang baharu seterusnya menukar ketua pembangkang.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Amanah Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib dalam satu kenyataan bersama Barisan Ahli Jawatankuasa Amanah Bukit Bintang pada Ahad.

Beliau berkata, calon ketua pembangkang mestilah mereka yang dipercayai penuh oleh semua parti pembangkang sama ada PH mahupun PH Plus.

"Dasar Grand Coalation oleh parti Amanah perlu direalisasikan dan jangan dibunuh oleh kerana tekanan daripada mana-mana pihak.

Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat jelata dan membina kembali kerajaan yang di hormati, maka jalan menukar ketua pembangkang adalah yang terbaik.

"Ramai calon boleh diketengahkan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan mereka yang dipersetujui oleh PH Plus," katanya menerusi kenyataan itu.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan desakan itu adalah bersandarkan kepada kegagalan calon Perdana Menteri daripada pembangkang mendapatkan sokongan yang diharapkan.

"Proses mendapatkan akuan bersumpah (SD) atau sokongan daripada 220 ahli Parlimen telah menunjukkan calon Perdana Menteri daripada pihak pembangkang tidak mendapat sokongan yang diharapkan.

"Kepercayaan ke atas ketua pembangkang yang calonkan oleh PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mampu mengumpul 92 SD sahaja berbanding 114 yang diperoleh oleh Datuk Seri Ismail Sabri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, PH dibina atas dasar kesepakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Amanah, manakala pembangkang yang lain seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Bebas mempunyai kekuatan dan sokongan kalangan rakyat negara ini.

Katanya, senario kemenangan PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah kerana mempunyai seorang calon Perdana Menteri yang diyakini oleh rakyat Malaysia ketika itu iaitu Dr Mahathir.

"Beliau yang disokong oleh rakyat, PH telah membawa satu kejayaan dan sejarah dilakar dengan menjatuhkan kerajaan kleptokrasi yang terlama di dunia iaitu UMNO/BN.

"Sokongan tidak berbelah bahagi parti-parti dari Sabah dan Sarawak juga memberi dokongan penuh kepada calon Perdana Menteri ketika itu hinggalah terbinanya kerajaan PH," katanya.