Tragedi kepala air: Fokus pencarian bawah timbunan kayu

Operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir pada hari kelima diteruskan dengan menggunakan eskavator di dua lokasi iaitu di Titi Hayun dan Batu Hampar. - Foto Bernama
Operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir pada hari kelima diteruskan dengan menggunakan eskavator di dua lokasi iaitu di Titi Hayun dan Batu Hampar. - Foto Bernama
A
A
A

YAN - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan memfokuskan operasi di bawah timbunan kayu bagi mencari mangsa keenam yang masih hilang akibat tragedi kepala air Gunung Jerai.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya juga sudah menandakan lokasi yang perlu diberi perhatian dalam operasi SAR pada Isnin.

Katanya, usaha berkenaan diharap dapat memberi petunjuk baharu bagi mengenal pasti kedudukan mangsa keenam yang masih belum ditemukan.

"Hari ini (Ahad) juga kita telah menggunakan khidmat jentera berat untuk mengalihkan bongkah kayu yang terdapat di sekitar lokasi pencarian yang mungkin menghempap mangsa," katanya ketika ditemui di Titi Hayun di sini pada Ahad.

Shahnaz Akhtar Haji
Shahnaz Akhtar Haji

Menurutnya, operasi pencarian di kawasan Batu Hampar juga telah ditamatkan setelah penemuan mangsa kelima pada Ahad.

"Dengan penemuan Ku Shuib Ku Abdullah, 91, hari ini ( Ahad) maka kita jangkakan tiada lagi mangsa yang hilang di kawasan berkenaan.

"Oleh itu, pasukan SAR di kawasan itu akan dibawa ke lokasi pencarian di Titi Hayun untuk mempergiatkan usaha pencarian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tragedi kepala air Gunung Jerai yang melanda kawasan Yan dan Merbok pada Rabu telah mengorbankan lima individu selain seorang lagi mangsa iaitu Ridwan Poniman, 61, yang masih belum ditemukan.