Himpunan Rakyat beri isyarat kepada kerajaan: Abdullah

Abdullah (tengah) bersama pimpinan Pas dan Umno negeri bergambar bersama pada himpunan berkenaan
Abdullah (tengah) bersama pimpinan Pas dan Umno negeri bergambar bersama pada himpunan berkenaan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pas Johor menegaskan Himpunan Rakyat yang diadakan di seluruh negara bukan bermaksud mahu memecah belahkan keharmonian negara tetapi suara kebangkitan umat Islam.

Perkara itu sekali gus menafikan kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang melabelkan tindakan Pas bersama sekutu pembangkang, UMNO sebagai ‘penunggang agama’.

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, isu penghinaan Nabi Muhammad SAW seperti yang terjadi di laman sosial baru-baru ini adalah tidak boleh dimaafkan dan perkara itu harus ditegah terutama bagi negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasminya.

“Perkara paling penting dan besar dalam hal ini adalah kerana penghinaan ke atas nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Kita tidak mahu ia berulang lagi sekiranya tidak diberikan hukuman setimpal kepada pelakunya.

“Jadi himpunan yang diadakan ini adalah sebagai isyarat kepada kerajaan yang rakyat mahu perkara ini diberi perhatian. Ia juga sebagai solidariti kita sebagai umat Islam di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Himpunan Rakyat Jangan Hina Nabi Muhammad SAW, di pekarangan Masjid Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, meskipun kerajaan memaklumkam hukuman telah dijatuhkan kepada pelakunya, ia masih belum mencukupi malah perlu diberi penegasan setimpal agar perkara tidak lagi berulang di masa akan datang.

“Sekarang ini apa yang kami semua lakukan bukan bermaksud keras kepala atau degil. Kita cuma mahu keadilan dan usaha kerajaan sekarang dalam menjaga kepentingan umat Islam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Kalau nak tunggu pilihan raya lama lagi, jadi untuk masa sekarang perkara ini, selagi kita boleh desak, kita akan lakukan dan berharap kerajaan akan ambil tindakan yang lebih baik,” katanya.

Lebih 500 umat Islam di sekitar bandar raya ini berkumpul di pekarangan masjid berkenaan bagi menyatakan sokongan pada himpunan berkenaan.