Bantu masyarakat menerusi konsep Keluarga Malaysia: PM

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalakkan usaha sepakat membantu masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum melalui konsep Keluarga Malaysia.

Ujar beliau, konsep berkenaan diambil kerana keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif.

"Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua,” katanya dalam Ucapan Khas Perdana Menteri pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setiap daripada rakyat adalah seperti keluarganya sendiri yang diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.

Beliau mengakui bahawa sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada saat negara menghadapi krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan, dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua.

“Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja.

Artikel Berkaitan:

“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah,” ujarnya.