Covid-19: Program PSC-19 capai sasaran

Jagdeep (kanan) meninjau PSC-19 di Dewan Orang Ramai Taman Camellia, Bandar Perda, pada Ahad.
Jagdeep (kanan) meninjau PSC-19 di Dewan Orang Ramai Taman Camellia, Bandar Perda, pada Ahad.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Usaha kerajaan negeri Pulau Pinang dalam memerangi penularan wabak Covid-19 menerusi Program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) mencapai sasaran apabila mencatatkan 46,021 pendaftaran.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah pendaftaran itu dilihat melepasi sasaran yang diletakkan sebelum ini iaitu 40,000 peserta.

Menurutnya, jumlah itu dicatatkan pada hari terakhir PSC-19 diadakan di 43 lokasi di seluruh negeri ini.

"Hari ini adalah hari terakhir PSC-19 yang berakhir di lokasi ke 43 iaitu di Taman Camellia, Seberang Perai. Setakat semalam, sebanyak 37,959 telah disaring dan 1,047 dicatatkan pada hari ini.

"Program ini merupakan inisiatif kerajaan negeri yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 2 Jun lalu bagi memperkasa langkah kesihatan awam di negeri ini dalam menangani penularan pandemik Covid-19," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat meninjau PSC-19 di Dewan Orang Ramai Taman Camellia, Bandar Perda di sini.

Beliau juga berharap kerajaan Pusat dapat membekalkan lebih vaksin supaya kerajaan negeri dapat menyelesaikan pemberian vaksin kepada rakyat.

"Terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang yang tampil dan mendaftar untuk suntikan vaksin, yang mana kita hampir mencapai 100 peratus pemberian sekurang-kurangnya satu dos.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga akan terus tegas dalam penguatkuasaan bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Pada 5 Julai lalu, PSC-19 yang dilancarkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Stadium Bandaraya Pulau Pinang bertujuan bagi mengenalpasti dan mengasingkan individu pembawa Covid-19 seterusnya mengawal perebakan virus tersebut.

Objektif itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menurunkan jumlah kes Covid-19 dengan memutuskan rantaian jangkitan dalam kalangan komuniti.

Program tersebut melibatkan keseluruhan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri Pulau Pinang dengan kos RM3 juta.