Yong Cimot berjaya ditangkap

Gajah denak iaitu Alam (kiri) dan Rambai (kanan) dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah digunakan untuk menangkap Yong Cimot sebelum dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu. - Foto Perhilitan Perak

A
A
A

GERIK - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap gajah liar yang menceroboh kawasan kampung dan merosakkan tanaman penduduk di Kampung Plang serta Batu Badong, di sini pada 18 Ogos lalu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah diberi nama Yong Cimot itu berjaya dijinakkan dengan bantuan dua gajah denak iaitu Alam dan Rambai yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.

Menurutnya, operasi tangkapan bermula pada 17 Ogos dan keesokan hari Yong Cimot berjaya ditangkap di Kampung Kledang Plang, Pengkalan Hulu.

"Dalam operasi ini, seramai 25 orang terlibat yang terdiri daripada 15 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dan 10 lagi dari Perhilitan Perak.

"Gajah ini telah memasuki kawasan kampung dan kebun komuniti tempatan menyebabkan kerosakan dengan anggaran kerugian RM15,000," katanya dalam kenyataan akhbar pada Ahad.

Yong Cimot berjaya ditangkap Perhilitan dalam operasi yang dijalankan sebelum dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu pada Ahad. - Foto Perhilitan Perak
Yong Cimot berjaya ditangkap Perhilitan dalam operasi yang dijalankan sebelum dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu pada Ahad. - Foto Perhilitan Perak

Yusoff berkata, gajah betina berusia dalam lingkungan 40 tahun itu dianggarkan seberat 3.2 tan.

Jelasnya, gajah berkenaan dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yusoff berkata, pihaknya turut merakam penghargaan atas kerjasama yang diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed, penghulu dan penduduk setempat sepanjang operasi berkenaan.