Sukarelawan abai SOP akan diambil tindakan

Mazlan (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan makanan kepada Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji (dua dari kanan) untuk diagihkan kepada anggota bertugas di IPD Yan pada Ahad.
Mazlan (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan makanan kepada Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji (dua dari kanan) untuk diagihkan kepada anggota bertugas di IPD Yan pada Ahad.
A
A
A

YAN - Pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana sukarelawan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang melaksanakan misi bantuan di kawasan Titi Hayun, di sini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ini kerana negara masih lagi dalam fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana mukim Yan juga masih dalam zon merah Covid-19.

Katanya, antara kesalahan yang akan diambil tindakan termasuklah tidak memakai pelitup muka dan juga lain- lain pengabaian SOP.

"Kita masih perlu jaga SOP, jadi kita nasihatkan kepada mereka yang hendak membantu terutamanya NGO, lapor dahulu kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sebelum datang menghulurkan sebarang bentuk bantuan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Menurut Mazlan, pihaknya juga akan mengawal kemasukan NGO ke kawasan ini memandangkan terdapat kesesakan telah berlaku.

"Kita hormati hasrat murni mereka, ada yang datang jauh dari Kuala Lumpur, Selangor dan lain- lain negeri, tetapi kita tidak mahu situasi ini menjadi punca penularan penyakit kepada orang lain.

"Selain itu, kita juga telah tutup kawasan naik ke atas (Titi Hayun) disebabkan tidak mahu ramai orang awam berkumpul di sana tanpa ada tujuan.

Artikel Berkaitan:

"Kita faham mereka hendak melihat keadaan terkini tetapi sekarang ini bukan masa yang sesuai dalam keadaan Covid-19 yang makin mengganas," katanya.

Tambah Mazlan, kekuatan tenaga dan aset adalah mencukupi ketika ini untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang.

"Setakat hari kelima ini, kita belum menjumpai kedua-dua mangsa dan kita berharap mereka akan ditemui segera," katanya.