Abang bomba bantu budak terkunci 30 minit dalam kereta

Bomba
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan adik lelakinya berusia sembilan bulan terperangkap lebih setengah jam apabila terkunci dalam kereta bapa mereka di Bandar Sunway, Subang Jaya, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, bapa dua beradik itu dikatakan keluar daripada kereta untuk menyerahkan surat kepada jiran dan meninggalkan anaknya di dalam kereta.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.35 petang sebelum enam anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

"Anggota bomba berusaha memberi tunjuk ajar dan memujuk kepada kanak-kanak perempuan itu untuk membuka pintu kereta termasuk bermain-main dengannya menggunakan alat seperti lampu suluh. Dia akhirnya mengikut arahan anggota kami untuk membuka pintu kereta,” katanya dalam kenyataan media mengenai insiden itu.

Beliau berkata proses itu mengambil masa kira-kira 20 minit. - Bernama