200 pelajar miskin dapat makanan percuma

Dr Tengku Mahmud Mansor
A
A

KUALA TERENGGANU – University College Bestari (UCB) akan menyediakan makanan percuma selama setahun kepada 200 pelajar terpilih terdiri dalam kalangan keluarga miskin bermula 2019.

Pengerusi Lembaga Pengelola UCB, Profesor Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor berkata, kesemua mereka hanya dikenakan bayaran sebanyak RM1 bagi setiap waktu makan iaitu makan pagi, tengah hari dan malam.

“Kita akan pilih pelajar dan anak-anak dalam kalangan keluarga susah iaitu daripada golongan berpendapatan rendah (B40) untuk dapat makanan percuma ini dengan hanya membayar sebanyak RM1 untuk setiap hidangan makanan.

“Biasanya untuk tiga kali makan ini kosnya sebanyak RM15, tetapi kita berusaha untuk memberikan kadar harga yang paling rendah, paling minimum kepada anak-anak ini bagi membantu meringankan bebanan mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, UCB juga akan diperkenalkan sebagai universiti mesra orang kurang upaya (OKU) bagi memberikan keselesaan penuh kepada pelajar yang menuntut di situ.

“Pelajar OKU juga akan diberi elaun sebanyak RM300 sebulan untuk kos sara hidup mereka.

"Semua sumber kewangan ini adalah daripada wakaf dan derma-derma yang diberikan kepada pihak kita untuk memastikan anak-anak di sini mendapat pembelaan,” katanya.