'Aku balik ke tak, tak tahu'

Mohd Rafi yang sedang dicari selepas dikhuatiri hilang sejak Khamis.
Mohd Rafi yang sedang dicari selepas dikhuatiri hilang sejak Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - “Aku balik ke tak, tak tahu.” Itu kata-kata terakhir Mohd Rafi Omar, 37, nelayan yang dikuatiri hilang apabila tidak pulang daripada mencandat sotong di perairan Pantai Sabak di sini sejak Khamis.

Kakaknya, Zakiah Omar, 51, berkata, adik bongsu daripada tujuh beradik itu dan abangnya, Mohd Zaki Omar, 49, sebelum itu keluar dari rumah di Kampung Pulau Gajah untuk ke laut secara berasingan.

Menurutnya, kedua-duanya menaiki bot fiber dari Jeti Nelayan Pantai Sabak di sini pada petang Selasa.

Katanya, Mohd Rafi atau lebih mesra dipanggil Su kemudian pulang pada jam 7 malam Rabu dengan hasil tangkapan yang kurang memuaskan, manakala Mohd Zaki pula pulang pada jam 11 malam hari sama dengan hasil lumayan.

Zakiah menunjukkan gambar Mohd Rafi yang dikuatiri hilang selepas keluar mencandat sotong di Kota Bharu pada Khamis.
Zakiah menunjukkan gambar Mohd Rafi yang dikuatiri hilang selepas keluar mencandat sotong di Kota Bharu pada Khamis.

“Melihat abangnya dapat banyak sotong, dia pun pergi semula ke laut dan keluar kali kedua pada jam 12 tengah malam.

“Ada rakan nelayan yang terjumpa dia sedang mencandat sotong pada lewat petang Khamis dan mengajak dia pulang sekali. Tetapi dia hanya menghulurkan roti sambil berkata "baliklah dulu, aku balik ke tidak, tak tahu”," katanya sambil bergenang air mata ketika ditemui di sini pada Ahad.

Zakiah berkata, lokasi terakhir Mohd Rafi dilihat kira-kira 34 kilometer dari Muara Kuala Senok, Bachok.

Artikel Berkaitan:

Bimbang adiknya masih tidak pulang menyebabkan Zakiah membuat laporan polis pada Sabtu.

“Biasanya dia pergi sehari sahaja tetapi ini sudah tiga hari tak pulang.

“Abang pun turut sama pergi mencarinya di laut dan dia berharap akan ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Zakiah bersama ahli keluarga lain yang menunggu khabar berita Mohd Rafi di Jeti Nelayan Pantai Sabak, Kota Bharu pada Ahad.
Zakiah bersama ahli keluarga lain yang menunggu khabar berita Mohd Rafi di Jeti Nelayan Pantai Sabak, Kota Bharu pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa pada hari kedua diteruskan dengan keadaan cuaca baik.

Bagaimanapun, katanya, setakat Ahad masih belum menjumpai sebarang petunjuk.

“Sektor pencarian diperluaskan kepada 67.35 batu nautika persegi berbanding 38.25 batu nautika persegi oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali.

Syed Nor Adli menunjukkan peta lokasi pencarian nelayan yang dikhuatiri hilang di Kota Bharu pada Ahad.
Syed Nor Adli menunjukkan peta lokasi pencarian nelayan yang dikhuatiri hilang di Kota Bharu pada Ahad.

“Operasi disertai seramai 68 orang terdiri anggota Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” jelas beliau.