X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Cap jari bantu polis berkas remaja pecah rumah

Antara barangan yang dirampas polis selepas seorang remaja berusia 18 tahun ditahan di Rantau Panjang pada 26 Febuari lalu.
A
A

PASIR MAS - Perbuatan seorang remaja melakukan pecah rumah terbongkar apabila polis mengesan cap jari yang ditinggalkannya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Gual Periok, Rantau Panjang pada 26 Febuari lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, penahanan remaja berusia 18 tahun itu membawa kepada penemuan pelbagai barangan curi hasil kegiatan salah tersebut.

"Antara barangan yang kita jumpa ialah tiga biji batu pertama, lima utas jam tangan, 12 unit vape, tiga 'power bank' dan sembilan buah telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, polis turut menjumpai satu set mesin rambut, selain kamera DSLR (satu set), beg (lapan), dompet (lapan), topi (lima) dan masing-masing satu unit cermin mata dan kotak cermin mata.

"Kesemua barangan ini ditemui di dalam kawasan kebun getah dan tempat pembuangan sampah di Rantau Panjang pada jam 1 pagi selepas ditunjukkan oleh suspek," katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, kesemua barangan kes itu disembunyikan suspek bagi mengaburi mata pihak polis.

"Pada 25 Febuari lalu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa rumahnya di Kampung Gual Periok di sini telah dipecah masuk pencuri.

"Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa telah memberitahu pelbagai barangan seperti kamera DSLR, komputer riba, televisyen, beg tangan berjenama dan 12 unit jam tangan berjenama terkemuka yang berada di dalam rumah berkenaan telah hilang," katanya.

Menurutnya, mangsa memberitahu kesemua barang yang hilang itu adalah milik kakaknya.

"Semasa menjalankan siasatan, polis menjumpai lapan kesan cap jari di lokasi. Susulan itu, polis bertindak memberkas suspek," kata beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!