779 guru di Johor enggan terima vaksin

MAZLAN
MAZLAN
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Pendidikan Negeri Johor ( JPNJ) akan membantu memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin kepada 779 guru yang dianggarkan menolak pemberian vaksin.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, sehingga 19 Ogos, seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di Johor sudah menerima dos pertama dan berdasarkan statistik, seramai 23,746 guru sudah lengkap kedua-dua dos berkenaan.

Menurut beliau, bagi anggota kumpulan pelaksana (AKP) seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan 2,816 atau 39.37 peratus sudah lengkap kedua-dua dos.

"Bagi staf sokongan operasi pula seramai 9,236 atau 71.49 peratus sudah menerima dos pertama dan 7,030 atau 54.42 peratus lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin," katanya ketika menjawab soalan berkenaan kadar vaksinasi guru di negeri ini yang dikemukakan Nor Hayati Bachok (Amanah- Maharani).

Soalan itu dikemukakan pada sesi soalan lisan bagi Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 pada Ahad.

Sementara itu Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Puteri Wangsa berkata JPNJ menyokong penuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi memastikan program vaksinasi mencapai 100 peratus.

Katanya, capaian itu melibatkan warga sekolah serta ibu bapa dan penjaga ketika pembukaan sesi persekolahan nanti.

"Merujuk kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 15 Ogos 2021, sesi pembukaan sekolah secara berperingkat akan bermula pada 3 Oktober.

Artikel Berkaitan:

"Pemakluman awal akan dibuat sekiranya terdapat keperluan perubahan tarikh hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.