ADUN Johor terima peruntukan tambahan

HASNI
HASNI
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor pada Ahad mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM150,000 kepada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, selain ADUN, peruntukkan sebanyak RM100,000 turut disalurkan kepada 27 Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas (JPKD) Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, tambahan peruntukan itu diharap dapat melancarkan lagi pemberian bantuan kepada rakyat yang memerlukan ketika pandemik Covid-19.

"Saya harap sumbangan ini dapat digunakan sebaiknya kepada setiap ADUN dan Pengerusi JPKD DUN untuk kebajikan rakyat terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (Amanah- Parit Yaani) berkaitan bantuan disalurkan kerajaan negeri pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 pada Ahad.

Sementara itu Hasni memberitahu kerajaan sentiasa peka keluhan rakyat dengan menyediakan pelbagai bantuan termasuk daripada pelbagai jabatan dan agensi seperti Majlis Agama Islam Johor ( MAIJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan.

"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga termasuk Yayasan Sultan Ibrahim dan Yayasan Raja Zarith Sofiah turut aktif menyalurkan bantuan kepada rakyat terjejas Covid-19," katanya.

Pada 29 Julai lalu, Hasni yang juga ADUN Benut dilaporkan mengumumkan peruntukan tambahan RM50,000 kepada semua 56 ADUN Johor dan Jawatankuasa Penyelaras Khas (JPKD) Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini.

Artikel Berkaitan: