Isu hina Nabi: Asyraf persoal peranan menteri

Asyraf Wajdi dan Idris berkongsi pentas di Himpunan Aman Ancaman Kepada Kedaulatan Islam di Masjid Negara, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof digesa memainkan peranan dalam isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama, Mujahid sepatutnya mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan.

"Kita nak beliau main peranan sebagai menteri agama. Kita berkumpul hari ini bukan kerana parti tetapi kerana kita marah apabila Nabi kita dihina.

"Dulu pun ada (kes hina Nabi) tetapi kita ambil tindakan segera. Ini kita kena berhimpun, kita bercakap dulu baru nak bertindak. Mana menteri agama?," katanya ketika berucap di Himpunan Aman Ancaman Kepada Kedaulatan Islam di Masjid Negara, hari ini.

Himpunan itu dianjurkan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bagi menyatakan bantahan terhadap penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW, menuntut keadilan dalam kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassin serta bantahan kepada pemansuhan hukuman mati.

Selain dihadiri pemimpin UMNO dan Pas, ia turut mendapat sokongan lebih 10 NGO.

Kata Asyraf Wajdi, satu himpunan lebih besar akan diadakan jika insiden menghina Islam masih berterusan.

"Saya bagi jaminan kalau masih ada lagi tindak tanduk kalian yang memperkotak-katikkan perasaan Melayu dan Islam, kita akan turun beramai-ramai. Kali ini lebih ramai daripada Himpunan ICERD.

"Kita nak tegaskan, jangan sekali-kali hina agama Islam," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, himpunan itu diadakan sebagai tanda cinta terhadap Nabi Muhammad SAW.

"Kita orang Melayu boleh hilang tanah, tapi tak boleh hilang agama. Orang Melayu tak kisah kalau dihina (perkara) lain, tapi jangan hina Nabi Muhammad SAW.

"Sebab itu himpunan ini untuk memberitahu bahawa orang Islam masih lagi ada perasaan, ada jiwa dan sayangkan agama," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia