'Ujian' di Dewan Rakyat menanti Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Gelora politik yang melanda negara sejak beberapa bulan lalu kian memuncak sejak seminggu lalu boleh dianggap selesai ketika ini.

Ia selepas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasmi diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam (Sabtu).

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 2.30 petang.

Pelantikan Ismail Sabri itu dibuat susulan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lalu.

Muhyiddin yang menerajui negara sejak 1 Mac tahun lalu berbuat demikian susulan dirinya telah hilang sokongan majoriti apabila 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau.

Namun, bagi Ismail Sabri atau lebih dikenali 'Pak Long Mail' dalam kalangan warganet, beliau belum lagi boleh menarik nafas lega kerana keabsahannya sebagai pemimpin nombor satu negara akan 'diuji' sekali lagi di Dewan Rakyat dalam masa terdekat ini.

Mahu atau tidak, proses itu perlu dilalui Ahli Parlimen Bera itu seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin dalam kenyataannya berkata, Al-Sultan Abdullah menitahkan Perdana Menteri dilantik hendaklah segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, titah Seri Paduka Baginda itu selaras seperti diperuntukan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tumpuan kini pastinya terarah kepada pengumuman rasmi yang akan dibuat Ismail Sabri untuk menetapkan tarikh bagi memanggil sidang khas Dewan Rakyat.

Hanya Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen boleh memanggil sidang khas Parlimen diadakan.

Media sebelum ini melaporkan, undi percaya terhadap Muhyiddin dijadualkan akan dikemukakan dalam Dewan Rakyat pada 7 September ini, namun tarikh itu dikatakan tidak lagi terpakai selepas Ahli Parlimen Pagoh itu meletak jawatan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mengekalkan sokongan 114 ahli Dewan Rakyat terhadapnya seperti yang diakui mereka ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Khamis lalu.

Justeru, agak mustahil semua Ahli Parlimen dalam gabungan Perikatan Nasional yang terdiri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang telah menyatakan sokongan untuk mengubah undi ketika di Dewan Rakyat nanti.

Paling ditunggu-tunggu ialah untuk melihat reaksi blok pembangkang sama ada wujud dalam kalangan mereka yang akan mengangkat tangan sebagai tanda setuju dengan pelantikan Ismail Sabri apabila pengundian dilakukan nanti.

Jika diuar-uarkan pemimpin harus berjiwa besar, maka ia perlu ditunjukkan oleh Ahli Dewan Rakyat sebagai bukti kematangan mereka.

Harapan seluruh rakyat ingin melihat kepimpinan baharu ini berupaya menangani pandemik Covid-19 sebaiknya dan memulihkan kembali ekonomi negara yang terjejas teruk ketika ini.

Apa yang pasti, rakyat tidak mahu lagi kemelut politik seperti yang berlaku sebelum ini berulang pada masa akan datang.