Mandat kerajaan PN sudah berakhir

PN yang lahir selepas berlaku insiden Langkah Sheraton itu turut menerima kritikan sebagai kerajaan bukan pilihan rakyat Malaysia.
PN yang lahir selepas berlaku insiden Langkah Sheraton itu turut menerima kritikan sebagai kerajaan bukan pilihan rakyat Malaysia.
A
A
A

SELEPAS Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, Malaysia telah berdepan dengan kegawatan politik semasa yang boleh dikatakan belum pernah dibayangkan rakyat selepas dikurniakan nikmat kemerdekaan lebih enam dekad lalu.

Tempoh matang untuk mengisytiharkan PRU15 masih panjang lagi tetapi negara sudah menyaksikan keruntuhan tampuk kepimpinan dua buah kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), pelantikan dua orang Perdana Menteri, malah pembentukan dua barisan kabinet berasingan agenda politik.

Kini kejutan politik terus berlaku apabila Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Pelantikan Perdana Menteri baharu itu diperlukan atas sebab bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau dan barisan kabinetnya telah meletak jawatan secara rasmi pada Isnin lalu susulan hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Menurut akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban, PN dibentuk dengan gabungan tampuk kepimpinan berprofil tinggi dan berpengalaman, namun akhirnya terpaksa mengundur diri gara-gara hala tuju barisan pemimpin tidak selari dengan ideologi parti berkenaan.

Muhyiddin sebagai bekas ketua kerajaan PN kurang berjaya mentadbir dan menyatupadukan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk terus memberi mandat kepadanya.

Malaysia Nanban berkata, Muhyiddin yang pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan menteri dalam barisan kabinet kerajaan lampau tidak dapat berdiri seteguh seperti dahulu disebabkan kedudukan PN sering diperjudikan oleh para pemimpin politik.

PN yang lahir selepas berlaku insiden Langkah Sheraton itu turut menerima kritikan sebagai kerajaan bukan pilihan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pembentukan PN yang bercanggah dengan amalan politik negara iaitu melalui PRU boleh dikatakan telah melakar sejarah baharu dalam senario politik tempatan. Ironinya, kerajaan yang diwujudkan tanpa mandat rakyat jelata itu semakin ke arah kemelesetan berikutan krisis pandemik Covid-19.

Malaysia Nanban menyatakan bahawa ancaman penularan wabak Covid-19 yang melanda negara sejak hujung tahun 2019 menjadi buruk bermula Mac 2020. Selain melumpuhkan sektor ekonomi, kesihatan dan sosial, ia turut menggugat kestabilan politik negara.

Muhyiddin bersama barisan kabinet PN telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk memulihkan keadaan ekonomi dan kesihatan negara serta membela nasib rakyat jelata dengan menyalurkan dana bantuan bagi mengukuhkan kelangsungan hidup mereka.

Bagaimanapun, peningkatan kes secara drastik dan kemelut politik dalaman membuatkan Muhyiddin serta PN semakin hilang sinar harapan untuk memulihkan kembali negara kepada norma kehidupan lama.

Kerajaan PN terus berusaha dengan mengimplementasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan membelanjakan kira-kira RM5 bilion untuk bekalan vaksin demi menyelamatkan nyawa masyarakat setempat.

Namun, segala usaha PN tetap mendapat tohmahan hebat akibat rakyat semakin menghadapi kesengsaraan apabila sektor ekonomi terpaksa ditutup, malah ada hilang pekerjaan dan insan tercinta akibat Covid-19.

Kewibawaan Muhyiddin tercabar dan kedudukan PN akhirnya tumbang dengan haluan tersendiri pemimpin politik yang memiliki strategi berlainan demi menjaga kepentingan kuasa serta jawatan masing- masing.

Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan media Istana Negara pada Jumaat lalu bertitah pelantikan Perdana Menteri baharu diharap dapat mengakhiri kemelut politik dengan segera.

Pemimpin-pemimpin politik perlu mengetepikan agenda politik dan berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat serta negara.

Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat Covid-19.

Sebaliknya, kepimpinan baharu diingatkan agar mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.