DPIM harap PM boleh satukan semua pihak lawan Covid-19

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

KOTA BHARU - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berharap Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menyatukan semua pihak dalam melawan pandemik Covid-19 dan membawa negara keluar dari kegawatan ekonomi.

Ketua DPIM, Shahir Adnan berkata, rakyat dan barisan hadapan kian penat serta letih dengan keadaan semasa.

Menurutnya, dengan kuasa yang ada sekarang, tutuplah 'pintu depan dan pintu belakang' agar kes harian serta kluster tempat kerja turun.

"Diharap Ismail Sabri menjadi pemimpin untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik.

"Ada suara sumbang yang menyatakan kerajaan ini adalah bukan kerajaan pilihan rakyat dan tidak demokratik. Tohmahan sebegini jauh tersimpang kerana harus diingat kerajaan Pakatan Harapan runtuh disebabkan oleh wakil rakyat mereka sendiri yang melompat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Shahir berkata, kehadiran kerajaan Perikatan Nasional 1.0 dan 2.0 adalah untuk menstabilkan senario politik pada waktu pandemik melalui rundingan kuasa dalam menentukan siapa Perdana Menteri yang berasaskan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan ini adalah sebuah kerajaan yang demokratik dan rakyat Malaysia juga bertuah di atas pertukaran ini kerana tanpa sebarang rusuhan atau pertumpahan darah seperti yang berlaku di negara lain.

"Negara kita bukan seperti Afghanistan di mana kerajaan jatuh melalui senjata. Ini menunjukkan kematangan politik rakyat negara ini. Rakyat Malaysia perlu bersyukur dan tidak terpengaruh dengan dakyah politik pembangkang.

Artikel Berkaitan:

"Pertukaran kerajaan kali ini diharapkan menstabilkan suhu politik negara hingga mandat dikembalikan pada PRU15 nanti," katanya.

Katanya, pihaknya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendoakan semoga ALLAH SWT memuliakan beliau di atas perjuangan dan jasa beliau dalam mengemudi negara pada waktu pandemik Covid-19.