Warga sukan ucap tahniah kepada Ismail Sabri

Foto Facebook FAMalaysia Official
Foto Facebook FAMalaysia Official
A
A
A

KUALA LUMPUR- Warga sukan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu.

Antaranya ialah Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menzahirkan ucapan tahniah menerusi platform media sosial masing-masing.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin bersama ahli Jawatankuasa Eksekutif serta kakitangan FAM turut mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan itu.

“Semoga industri sukan negara termasuk bola sepak turut akan diangkat sebagai salah satu agenda penting dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinannya,” menurut kenyataan FAM.

Ismail Sabri bukan seorang individu yang asing dalam bidang sukan negara apabila pernah menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bermula Mac 2008 hingga April 2009, yang juga jawatan pertamanya sebagai menteri.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil pada 1996.

Bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) Datuk Abdul Halim Kader serta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera itu.

Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan perdana menteri pada 16 Ogos lalu selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.- Bernama

Artikel Berkaitan: