PKPD di 11 lokaliti di Sabah, Perak, Kedah dan Pahang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tujuh lokaliti di Sabah dan dua di Perak serta masing-masing satu di Kedah dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 23 Ogos hingga 5 September.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD di Sabah melibatkan empat lokaliti di Tawau iaitu Taman Thien Vun, Taman Victoria, Taman King Fook dan Kampung Kurnia, Batu 4.

Menurutnya, dua lokaliti terlibat di Beluran ialah Kampung Sulit Paitan dan Kampung Matanggal Lama, manakala di Sandakan, lokaliti dikenakan PKPD ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra.

"Dua lokaliti di Perak pula melibatkan Pelantar Sungai Pinang Kecil di Pulau Pangkor dan Penjara Tapah (termasuk kuarters) di Batang Padang manakala di Kedah, lokaliti yang dikenakan PKPD ialah Penjara Pokok Sena (termasuk kuarters) sementara Pahang di Kampung Telemin, Mukim Gua, Lipis.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai PKPD pada Sabtu.

Rodzi berkata, PKPD di Kampung Orang Asli Sungai Bot, Karak di Bentong, Pahang serta Taman Semarak Indah di Tawau dan Kampung Tanjung Kapor, Kudat di Sabah yang sepatutnya tamat pada Ahad dilanjutkan hingga 5 September.

Beliau berkata, selain itu, PKPD di Jalan Feri Lama, Teluk Gading, Rompin serta dua lokaliti di Maran, Pahang iaitu Felda Jengka 18 dan Kampung Paya Besar Kertau tamat esok seperti dijadualkan manakala satu lagi lokaliti di Maran iaitu Felda Jengka 7 ditamatkan pada Sabtu lebih awal daripada yang dijadualkan.

"PKPD di Sabah masing-masing dua lokaliti di Tawau (Flat Sri Semarak dan Taman Sejati) dan Penampang (Kampung Koidupan dan Kampung Guunsing-Novunsu) serta Kampung Marau, Sipitang dan Kampung Baru Kimanis, Papar turut tamat esok seperti yang dijadualkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua keputusan itu diambil setelah MKN meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19 di lokaliti terbabit. - Bernama