X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Ahli Parlimen PN teguh bersama Ismail Sabri: Hamzah

Hamzah Zainudin
A
A

SHAH ALAM - [DKEMAS KINI] Semua ahli Parlimen dalam parti gabungan Perikatan Nasional (PN) berdiri teguh bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelantikan Ahli Parlimen Bera itu diyakini dapat memastikan kesinambungan dasar, perancangan serta iltizam kerajaan PN terutamanya memulihkan negara daripada impak Covid-19 dengan segera.

Beliau berkata, pelantikan Ismail Sabri itu diharap dapat menghentikan kemelut politik sebelum ini sekali gus menyatupadukan semua pihak untuk kembali fokus kepada agenda membela kebajikan rakyat terutamanya dalam pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.

"PN menjunjung kasih atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Sehubungan itu, semua ahli Parlimen PN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berdiri teguh bersama Perdana Menteri yang baharu," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Dalam kenyataan sama, PN turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengetuai tampuk pemerintahan negara dengan amanah, cekal dan beristiqomah sebelum ini.

"Semua program bantuan rakyat, pakej rasangan ekonomi termasuk perbelanjaan pengurusan Covid-19 yang diluluskan oleh Tan Sri Muhyiddin merupakan bukti keprihatinan beliau yang akan selamanya tercatat dalam sejarah negara," katanya.

Pada Sabtu, Ismail Sabri secara rasmi diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 2.30 petang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!