Pekerja belum divaksin, peniaga kedai makan tak benarkan dine-in

Restoran Nasi Kandar Deen Maju antara kedai makan terkenal di Pulau Pinang yang masih belum membenarkan perkhidmatan 'dine-in'.
Restoran Nasi Kandar Deen Maju antara kedai makan terkenal di Pulau Pinang yang masih belum membenarkan perkhidmatan 'dine-in'.
A
A
A

GEORGETOWN - Kebanyakan pemilik premis makanan di Pulau Pinang mengambil inisiatif sendiri apabila tidak membenarkan 'dine-in' walaupun kerajaan sudah memberi kelonggaran.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis makanan terutama restoran nasi kandar terkenal mendapati, pemilik perniagaan tidak membenarkan pelanggan makan di premis kerana beberapa faktor antaranya pekerja belum menerima suntikan vaksin sepenuhnya.

Pemilik Restoran Nasi Kandar Deen Maju, Tajudeen S Jamaldeen, 51, berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pelanggan makan di premis kerana seramai 18 daripada 20 pekerjanya belum menerima vaksin.

Menurutnya, dia tidak mahu mengambil risiko untuk membenarkan 'dine-in' walaupun kelonggaran telah diberikan.

"Pekerja saya ada 20 orang, 18 orang langsung tidak divaksin, hanya dua orang sahaja yang terima vaksin, itu pun baru satu dos.

Bukan pekerja sahaja, saya juga baru terima satu dos.

"Saya tidak mahu mengambil risiko dengan membenarkan 'dine-in'.

Saya tidak mahu membahayakan keselamatan pelanggan dan pekerja.

Artikel Berkaitan:

Kita tidak tahu siapa pembawa virus, mungkin dari pelanggan atau pekerja," katanya ketika kepada Sinar Harian.

Katanya, pihak pengurusan restoran itu dijangka membenarkan pelanggan menikmati makanan pada pertengahan September nanti.

"Saya jangka semua pekerja akan lengkap vaksin pada September nanti.

Oleh itu, mungkin pelanggan boleh mula 'dine-in' pada pertengahan September," katanya.

Sementara itu, pemilik Restoran Mohamed Raffee, Mohamed Firdaus Mohamed Raffe, 38, berkata, selain pekerja yang belum lengkap divaksin, dia mengalami kesukaran untuk mengawal pelanggan yang datang makan di premis.

Menurutnya, atas faktor itu, dia mengambil keputusan untuk tidak membenarkan 'dine-in' buat sementara waktu.

"Kita kekurangan pekerja untuk pantau pelanggan yang sudah lengkap vaksin.

Selain itu, daripada 15 pekerja, hanya dua orang sahaja yang telah divaksin.

"Saya tidak boleh jangka bila boleh terima pelanggan untuk 'dine-in' kerana tidak mahu ambil risiko.

Buat masa ini, pelanggan hanya boleh membungkus makanan sahaja.

"Bagaimanapun, jika kes di Pulau Pinang menurun dan semua pekerja sudah lengkap vaksin, kita akan beroperasi seperti sebelum ini," katanya.

Medan Selera Plaza Gurney antara yang menyediakan perkhidmatan 'dine-in' namun pelanggan perlu melengkapkan dua dos vaksin sebelum dibenarkan berbuat demikian.
Medan Selera Plaza Gurney antara yang menyediakan perkhidmatan 'dine-in' namun pelanggan perlu melengkapkan dua dos vaksin sebelum dibenarkan berbuat demikian.

Pemilik Restoran Nasi Kandar Thaiyyub di Kepala Batas, Muhammad Azmin Mohamed Maideen, 30, berkata, alasan utama premisnya tidak membenarkan 'dine-in' kerana kesukaran berhadapan dengan pelanggan yang tidak mahu memberi kerjasama kepada pekerja ketika pemeriksaan sijil digital vaksinasi.

Katanya, bagi mengelak perkara tidak diingini, dia mengambil keputusan untuk menangguh terlebih membenarkan pelanggannya makan di restoran walaupun kelonggaran telah diberikan.

"Ada yang datang bawa anak, ibu bapa sudah divaksin, tetapi anak mereka belum.

"Sebab itu ia agak sukar untuk kami mengawal pelanggan seperti ini.

Selain itu, kesemua 11 pekerja saya belum terima vaksin. Saya tidak mahu ambil risiko, oleh itu, saya ambil keputusan agar tangguh dahulu 'dine-in'," katanya.

Dalam pada itu, pemilik bersama Bricklin Cafe & Bar, Syaffiq Idham Zulkifli, 30-an berkata, premisnya juga tidak menyediakan 'dine-in' buat sementara waktu susulan pekerja di kafe itu belum lengkap divaksin.

"Kita ambil inisiatif sendiri kerana semua pekerja termasuk saya belum lengkap divaksin.

"Dijangka pertengahan September baru kita sedia perkhidmatan 'dine-in', untuk sementara ini, pelanggan boleh membeli secara bungkus," katanya.

Tinjauan di Medan Selera Gurney Paragon dan Plaza Gurney mendapati kurang pelanggan yang menikmati makanan di premis.

Kedua-dua pasar raya itu membenarkan pelanggan makan di medan selera tersebut namun perlu lengkap menerima dua dos vaksin.

Kerani, Zarina Mohamed, 30 berkata, kekurangan pelanggan yang menikmati makanan di situ menunjukkan kesedaran orang rakyat mengenai terhadap penularan wabak Covid-19 semakin tinggi.

"Pelanggan dan pemilik premis yang mengambil inisiatif sendiri apabila tidak mengambil peluang dengan kelonggaran yang diberi wajar dipuji.

"Pemilik premis yang tidak membenarkan 'dine-in' kerana pekerja belum lengkap divaksin adalah satu tindakan bertanggungjawab.

Mereka tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata," katanya.

Minggu lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak 11 sektor ekonomi akan dibuka semula untuk negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 16 Ogos antaranya kedai cuci kereta, kedai perabot, kedai pakaian, kedai peralatan sukan dan kedai barang kemas.

Katanya, hampir kesemua sektor ekonomi di negeri ini akan dibuka semula mengikut kemudahan untuk sektor Perdagangan dan Pengedaran Fasa Dua PPN walaupun Pulau Pinang belum mencapai 50 peratus kadar vaksinasi penuh.

Kon Yeow memberitahu, terdapat pindaan terkini prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai kelonggaran sektor ekonomi yang dibenarkan dibuka semula dari 16 Ogos.

Sebelum itu, kerajaan mengumumkan bahawa sekurang-kurangnya 50 peratus orang dewasa di negeri Fasa 2 PPN perlu melengkapkan suntikan dua dos vaksin sebelum 11 perniagaan tambahan dibenarkan untuk beroperasi semula.