Longgokan sampah busuk, berulat di pusat kuarantin dalam tindakan

Gambar longgokan sampah di PKRC UiTM Chendering di Kuala Terengganu.- Foto ihsan pembaca. Gambar kecil: Alias
Gambar longgokan sampah di PKRC UiTM Chendering di Kuala Terengganu.- Foto ihsan pembaca. Gambar kecil: Alias
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Masalah longgokan sampah yang semakin banyak, membusuk dan berulat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, di sini dalam tindakan syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital, Radicare (M) Sdn Bhd.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, beberapa tindakan segera akan diambil susulan mesyuarat diadakan antara Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, JAS Putrajaya dan Radicare pada Selasa lalu.

"Sampah terkumpul di PKRC itu dikategorikan sebagai sisa klinikal dan tidak boleh diurus atau dilupuskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Untuk tindakan dalam tempoh terdekat, pihak JKNT telah menempatkan enam tong 'Rol On Roll Off' atau RORO di PKRC Chendering pada Khamis (19 Ogos).

"Pihak Radicare juga akan menghantar lori kontena ke PKRC berkenaan bagi mengangkut sisa klinikal daripada tong RORO sebelum dibawa ke Teluk Kalung, Kemaman," katanya.

Alias berkata, Radicare bercadang menempatkan sisa klinikal daripada PKRC berkenaan ke Teluk Kalung, Kemaman iaitu di tapak tanah milik Radicare sendiri buat sementara waktu sebelum dihantar ke pusat pelupusan klinikal Teluk Panglima Garang, Selangor.

"Bagi kebenaran untuk menyimpan dan melupuskan sisa klinikal tersebut, pihak Radicare telah menghantar permohonan kepada JAS Putrajaya berserta Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) selewat-lewatnya pada Jumaat (20 Ogos)," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Alias berkata, longgokan sampah berlaku disebabkan pertambahan jumlah pesakit di pusat kuarantin berkenaan selain kemudahan sedia ada tidak mencukupi bagi menguruskan sisa klinikal tersebut.

Artikel Berkaitan:

"PKRC merupakan pusat tambahan yang perlu diuruskan oleh pihak Radicare dan pertambahan jumlah pesakit kebelangan ini menyebabkan kekurangan kakitangan bagi menguruskan sisa klinikal yang ditinggalkan.

"Bagaimanapun, tindakan kini sedang dan akan diambil oleh pihak Radicare," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial longgokan sampah di PKRC tersebut sehingga mengundang rasa tidak selesa terhadap penghuni di pusat kuarantin serta penduduk yang tinggal di kawasan sekitar.

Difahamkan, longgokan sampah yang banyak itu menyebabkan berlakunya masalah lalat, nyamuk serta pencemaran bau.