X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Piala Thomas: Setiap mata cukup penting

Aksi Aaron (kanan) dan Wooi Yik pada Sukan Olimplik Tokyo 2020.
A
A

KEJAYAAN meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 ternyata membakar semangat beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk membantu Malaysia memburu kejayaan pada kempen Piala Thomas.

Bagi Aaron, dia dan Wooi Yik sudah bersedia untuk menggalas satu lagi tugasan penting di pentas antarabangsa selepas kejayaan mereka membawa pulang gangsa dari bumi Tokyo.

Bagaimanapun, Aaron tidak mahu menjanjikan 'bulan dan bintang' selepas menyedari skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Kanada.

“Saya percaya ramai yang mengharapkan kami meraih satu lagi kejayaan pada Piala Thomas. Tetapi seperti yang kita semua tahu, Piala Thomas ini adalah kejohanan berpasukan.

“Kami akan cuba menyumbang mata setiap perlawanan. Memandangkan status kami sebagai beregu utama, sudah tentu harapan mata diletakkan kepada kami.

“Begitu juga dengan (Lee) Zii Jia. Sudah tentu dia juga menjadi sandaran untuk mengutip mata pertama Malaysia berdasarkan statusnya sebagai pemain (perseorangan) pertama.

“Apa yang boleh saya katakan, kami semua akan cuba meraih mata. Dalam kejohanan seperti Piala Thomas ini, setiap mata itu cukup penting, tak kira siapa yang menyumbang mata,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Melihatkan undian peringkat kumpulan itu, Malaysia dijangka menghadapi ujian besar berdepan pasukan pilihan, Jepun selain England yang mampu mencipta kejutan.

Pada ketika Malaysia sudah pasti menyandarkan harapan kepada Zii Jia dan gandingan Aaron-Wooi Yik untuk menyumbang mata, prestasi tiga lagi wakil - dua perseorangan dan satu beregu masih menjadi tanda tanya.

“Bagi saya kami mampu melepasi peringkat kumpulan dan mara ke suku akhir. Saya percaya barisan jurulatih akan membariskan pemain terbaik pada Piala Thomas kali ini.

“Selain saya, Wooi Yik dan Zii Jia, Malaysia masih ada lagi beberapa pemain yang boleh diharapkan untuk mencipta kejayaan dan meraih mata penting dalam aksi Piala Thomas nanti.

“Kita ada beregu, Nur Izzuddin (Mohd Rumsani) dan Goh Sze Fei manakala bagi perseorangan, kita ada Cheam June Wei dan Leong Jun How. Kita juga ada beberapa pemain muda yang juga berpotensi,” katanya.

Selepas ditunda beberapa kali ekoran pandemik Covid-19, kempen Piala Thomas/ Piala Uber dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark dari 9 hingga 17 Oktober depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!