Perkasa inisiatif RiDE di kawasan luar bandar

Amirudin (kanan) dan Mohd Khairuddin (kiri) bergambar bersama selepas gimik penyerahan inisiatif berkenaan yang berlangsung di Dewan Rakyat Batu Caves, pada Sabtu.
Amirudin (kanan) dan Mohd Khairuddin (kiri) bergambar bersama selepas gimik penyerahan inisiatif berkenaan yang berlangsung di Dewan Rakyat Batu Caves, pada Sabtu.
A
A
A

GOMBAK - Skim Roda Darul Ehsan (RiDE) akan diperkasa di kawasan luar bandar yang merekodkan jumlah penerima paling rendah sejak inisiatif itu diperkenalkan kerajaan Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, mengikut rekod, daerah Sabak Bernam mencatatkan peratusan penerima paling rendah iaitu sekitar dua peratus diikuti Kuala Selangor (lima peratus) dan Hulu Selangor (lima peratus).

Mohd Khairuddin berkata, pihaknya akan turun ke daerah terlibat bagi menawarkan inisiatif berkenaan kepada belia untuk memenuhi kuota 3,000 kuota pada tahun ini.

"Kita akan tambah baik program ini dengan turun ke kawasan yang dikenal pasti ini untuk memastikan lebih ramai belia dapat menikmati inisiatif ini," katanya selepas Program Penyerahan Inisiatif RiDE yang berlangsung di Dewan Rakyat Batu Caves, di sini, pada Sabtu.

Program dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Amirudin sewaktu berucap berkata, lebih 8,000 permohonan program RiDE direkodkan sejak pendaftaran dibuka pada awal tahun ini.

Beliau berkata, proses semakan turut dilaksanakan segera bagi mencari pemohon yang benar-benar layak menerima manfaat tersebut.

"Syarat tertentu ditetapkan antaranya pemohon perlu berusia bawah 40 tahun kerana inisiatif ini dilaksana bagi membantu pemandu e-panggilan yang majoritinya generasi muda.

Artikel Berkaitan:

"Penunggang e-panggilan akan menerima bantuan kewangan berjumlah RM500 memandangkan kebanyakan mereka sudah memiliki lesen motosikal B2," katanya.