12,000 penjaja, peniaga dijangka terima vaksin melalui MOVAC

Jagdeep (tengah) bersama Tung Seang (dua dari kanan) dan Azrul (empat dari kiri) menunjukkan Pasar dan Kompleks Teluk Kumbar Height yang bakal beroperasi nanti.
Jagdeep (tengah) bersama Tung Seang (dua dari kanan) dan Azrul (empat dari kiri) menunjukkan Pasar dan Kompleks Teluk Kumbar Height yang bakal beroperasi nanti.
A
A
A

BALIK PULAU - Kerajaan Pulau Pinang mensasarkan 12,000 penjaja dan peniaga di negeri ini akan menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, program tersebut akan diadakan pada 30 Ogos ini hingga 2 September depan.

Menurutnya, lima lokasi telah dipilih untuk menjalankan program berkenaan iaitu di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, Butterworth; Kompleks Sukan Jalan Betek, Bukit Mertajam; Stadium Batu Kawan, Stadium Bandaraya di Georgetown dan Dewan Perda di Teluk Kumbar.

"MOVAC adalah program anjuran bersama kerajaan negeri dan Covid-19 Immunisation Task Force (CITF), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

"Kita mengambil inisiatif menganjurkan MOVAC adalah untuk membantu melancarkan program vaksinasi untuk penjaja dan peniaga di negeri ini selain mengurangkan beban tugas pasukan barisan hadapan melalui khidmat sukarelawan," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Sebelum itu, Jagdeep, Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz meninjau Kompleks dan Pasar Teluk Kumbar Height di sini, pada Sabtu.

Katanya, seramai 10,000 hingga 12,000 penjaja dan peniaga keseluruhannya akan menerima vaksin di lima daerah terbabit untuk tempoh empat hari program berkenaan berlangsung.

"Jumlah itu adalah sasaran kita selama empat hari MOVAC yang dijadualkan berlangsung.

Artikel Berkaitan:

"Ini bermakna, jumlah penjaja dan peniaga yang akan divaksin untuk sehari adalah antara 250 hingga 300 orang. Kita juga akan menyediakan 10 buah bas MOVAC untuk kemudahan mereka," katanya.

Jagdeep berkata, program itu menjadi instrumen mobilasi dengan menyediakan akses vaksinasi kepada penjaja dan peniaga yang berdaftar di bawah kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya memohon semua penjaja dan peniaga terutamanya yang melibatkan perniagaan makanan segera divaksin untuk keselamatan semua pihak termasuk pelanggan yang datang ke premis mereka.

"Mereka (penjaja dan peniaga) yang berdaftar di bawah PBT akan menerima tarikh janji temu dan lokasi untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera," katanya.

Mengulas mengenai Pasar dan Kompleks Teluk Kumbar Height, Jagdeep berkata, kompleks itu telah siap dibina dan akan memulakan operasi pada penghujung September depan.

Jagdeep berkata, pembinaan kompleks itu adalah untuk menyediakan kemudahan pasar dan tempat makan untuk penduduk setempat serta kawasan sekitarnya.

"Terdapat lapan gerai di pasar yang meliputi gerai jualan ikan, sayur, daging, kelapa dan barangan runcit.

"Selain itu, terdapat 16 gerai meliputi 14 gerai makanan dan dua gerai minuman disediakan di bahagian kompleks makanan di sini," katanya.