Mangsa banjir di Perak, Kedah meningkat pagi ini

Keadaan Masjid Tengku Menteri di Mukim Matang yang ditenggelami banjir. - Foto fail Sinar Harian
Keadaan Masjid Tengku Menteri di Mukim Matang yang ditenggelami banjir. - Foto fail Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak dan Kedah meningkat pagi ini, susulan bencana banjir yang berlaku sejak Rabu.

Di Perak, jumlah penduduk yang terjejas banjir di tiga daerah meningkat kepada 149 orang pagi ini berbanding 99 orang semalam.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, sebuah PPS dibuka di daerah Larut, Matang dan Selama, di Dewan Orang Ramai Sungai Baru, Trong pada pukul 5 petang semalam, menempatkan 13 orang dari empat keluarga, disebabkan paras air meningkat di Kampung Sungai Nyior, Padang Gajah.

Jumlah mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang di Taiping turut bertambah kepada 107 orang dari 33 keluarga, berbanding 88 orang semalam ekoran banjir di empat kawasan iaitu, di Kampung Sungai Rentaka, Kampung Melawati, Kampung Jebong Kiri dan Kampung Tebuk.

“Seramai 18 orang dari enam keluarga ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak, berikutan keadaan di Kampung Matang Tengah terjejas dengan banjir, manakala jumlah mangsa di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Smart Batu 8, Jalan Changkat Jong di Teluk Intan masih kekal 11 orang dari tiga keluarga,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri dalam satu kenyataan berkata, runtuhan ban di Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Samagagah berlaku di Alor Pongsu di daerah Kerian pada pukul 10.30 pagi pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, kejadian berkenaan menyebabkan paras air di Sungai Beriah dan Sungai Samagagah mencecah 3.32 meter, iaitu melepasi paras bahaya manakala ketinggian aras banjir dianggarkan berada pada paras antara 0.6 hingga 1.5 meter.

“Limpahan air Sungai Samagagah akibat hujan lebat luar biasa di kawasan tadahan Sungai Kerian, menyebabkan ban RTB Samagagah tidak dapat menampung kapasiti air sungai yang melintas, dan menyebabkan ban RTB Samagagah putus.

Artikel Berkaitan:

“Pihak JPS Kerian mengaktifkan operasi pam kekal di Matang Tengah, bagi mengeluarkan air yang terperangkap serta membuka pintu di Ampang Jajar,” menurut kenyataan itu.

Di Kedah, satu PPS baharu dibuka di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Siong, bagi menempatkan lima mangsa banjir daripada satu keluarga di daerah Baling, hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dalam satu kenyataan berkata, PPS SK Siong itu mula diaktifkan pada pukul 3 pagi tadi, berikutan kejadian banjir yang berlaku, semalam.

Sementara itu, di Yan dua PPS yang dibuka sejak Rabu lalu iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan dan PPS SK Teroi masih aktif dibuka, walaupun tiada mangsa ditempatkan.

“Tiga orang daripada satu keluarga yang ditempatkan di PPS SMK Agama Yan telah dibenarkan pulang ke rumah, semalam selepas paras air kembali surut,” katanya.

Pada petang Rabu lalu, fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai telah menyebabkan banjir yang menjejaskan sekitar 1,000 buah rumah di Yan dan Kuala Muda selain mengorbankan empat nyawa setakat ini. - Bernama