Clare sahkan terima bayaran RM1.4j daripada Hadi

clare
clare
A
A
A

SHAH ALAM - Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown membuat pendedahan bahawa portal itu menerima bayaran sebanyak RM1.4 juta daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada akhir Januari lalu.

Menurut Clare, portal itu bersetuju untuk menerima bayaran tersebut termasuk syarat Abdul Hadi supaya kedua-dua pihak merahsiakan pembayaran tersebut.

"Ini adalah perkara biasa dalam penyelesaian sesuatu kes di luar mahkamah untuk dirahsiakan supaya tidak mengaibkan pihak yang membuat pembayaran bagi mengelakkan kes itu terus berpanjangan," katanya menerusi laporan yang disiarkan dalam laman tersebut hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dedah bukti Pas bayar wang kepada Rewcastle-Brown

Laporan yang bertajuk 'Masa untuk menjelaskan tentang bayaran kepada Sarawak Report' itu turut memaparkan beberapa gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk perjanjian rahsia, sekeping cek Bank Islam dan sepucuk surat kepada Maybank yang mengesahkan wang bernilai RM1.4 juta itu datang daripada Abdul Hadi.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan, Pas akan mengadakan sidang media khas dan mengemukakan segala bukti bagi menjawab dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan perkata tersebut.

Dalam pada itu, Clare memberitahu, penafian dibuat Takiyuddin itu mengelirukan, tidak benar dan melanggar perjanjian kerahsiaan yang telah dicapai secara bersama sebelum ini.

"Hadi tidak sepatutnya membincangkan butiran bayaran penyelesaian dengan mana-mana ahli Pas sama sekali. Tindakan Takiyuddin mewakili Hadi adalah pelanggaran dan penolakan perjanjian kerahsiaan yang sangat ketara kerana ia tidak benar.

Artikel Berkaitan:

"Justeru Sarawak Report berhak mempertimbangkan untuk keluar daripada kerahsiaan juga supaya kebenaran dapat diberitahu kepada rakyat Malaysia dikelirukan," katanya.