Enam lelaki syaki curi tong roro ditahan

Sebuah lori turut dirampas dalam tangkapan membabitkan kes kecurian tong roro.
Sebuah lori turut dirampas dalam tangkapan membabitkan kes kecurian tong roro.
A
A
A

PORT DICKSON - Enam lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes kecurian tong roro sekitar daerah ini melibatkan kerugian hampir RM40,000.

Ketua Polis daerah Port Dickson,Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, sejak empat bulan yang lalu, Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Port Dickson menerima sebanyak lima laporan polis daripada peniaga tong roro mengenai kehilangan lima buah tong tersebut di sekitar kawasan Lukut dan Chuah.

"Bertindak atas maklumat, pada Rabu lepas jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang, polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson menahan empat lelaki bersama rampasan barang kes bersabit kecurian tong itu.

"Susulan tangkapan itu, dua lagi suspek ditahan pada Khamis di kawasan Lukut dan Port Dickson," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Aidi Sham berkata, kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 28 sehingga 49 tahun dan empat daripadanya didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah.

Antara rampasan melibatkan kes kecurian tong roro.
Antara rampasan melibatkan kes kecurian tong roro.

"Antara barang kes yang dirampas ialah sebuah lori, kepingan tong roro yang telah dipotong, telefon bimbit dan pita pelekat.

"Selain itu, sebuah tong roro yang dilaporkan hilang di kawasan Perindustrian D Ambang Kota, Chuah pada Selasa lalu turut dijumpai semula.

Artikel Berkaitan:

"Polis percaya telah berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes kecurian tong roro yang aktif di sekitar Port Dickson dan Seremban sejak empat bulan lalu," katanya.

Jelas Aidi Sham, suspek dipercayai menjual tong yang masih elok kepada pembeli manakala tong buruk akan dipotong dan dijual sebagai besi buruk.

"Kesemua suspek kini masih ditahan di Lokap Balai Polis Port Dickson dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.