Rakan politik ucap tahniah, akui tugas berat menanti Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUANTAN - Meskipun menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri berita mengembirakan, namun rakan lamanya Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin mengakui sahabatnya itu berdepan tugasan berat untuk menyejukkan suasana panas yang dihadapi negara.

Sambil mengucap tahniah, Mohd Sharkar berkata, selain panas disebabkan pandemik Covid-19 antara yang akan menjadi 'perhatian dan penilaian' sepanjang Ismail Sabri menjawat jawatan penting itu ialah pendekatan beliau dalam mendepani ketidakstabilan politik, situasi ekonomi yang serba mencabar serta pandangan rakyat terhadap kerajaan yang bakal dibentuknya.

"Kita sedar kestabilan politik penting dan ia agak mencabar pada masa ini kerana majoriti kepada beliau juga adalah kecil. Malah sejak pilihan raya umum (PRU) lalu, kita sudah berdepan dengan masalah ini yang akhirnya membawa kepada pelantikan tiga perdana menteri daripada kerajaan berbeza.

"Saya tahu beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang boleh digunakan untuk meredakan suasana dan membawa keluar Malaysia daripada pandemik. Selain itu, beliau juga akan menjadi perhatian kerana membawa nama UMNO yang akan menjadi pertaruhan apabila mandat ini dipulangkan kepada rakyat melalui PRU," kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu semasa dihubungi di sini pada Jumaat.

Secara peribadi, Mohd Sharkar berkata, Ismail Sabri bukanlah orang asing malah turut dikenali oleh ahli keluarganya kerana rumah beliau di Kampung Bintang, Temerloh dan rumah keluarga perdana menteri itu yang terletak di Kampung Lubuk Kawah ‘hanya berseberang.’

Menurut Mohd Sharkar, mereka juga pernah bersekolah di Technical Institute of Kuantan, yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Kuantan, sekitar tahun 1970-an dan Ismail Sabri merupakan senior beliau.

Selain itu, kedua-duanya mula aktif dalam politik menerusi Pemuda UMNO menyebabkan Mohd Sharkar secara peribadi gembira dengan pencapaian 'rakan dari Temerloh, orang Pahang dan sahabat lama.'

Mohd Sharkar juga mengingati bagaimana Ismail Sabri berlapang dada untuk 'berhijrah' ke Bera semasa mereka memegang jawatan Timbalan Ketua Bahagian UMNO dengan beliau di Mentakab manakala Ismail Sabri di Temerloh dan berlaku persempadanan semula.

Artikel Berkaitan:

"Apabila Mentakab tiada, Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri) meminta seorang daripada kami untuk ke Bera kerana beliau tidak boleh kehilangan dua anak muda jika kami berada di bahagian sama. Beliau (Ismail Sabri) rela ke Bera walaupun pada waktu itu berada di Temerloh," katanya.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad pula berkata, Ismail Sabri matang dalam bertindak termasuk ketika berdepan krisis terutama selepas dilantik sebagai Menteri Penyelaras Covid-19 sekali gus menjadi jurucakap kerajaan dalam situasi pandemik yang tidak pernah dihadapi negara sebelum ini.

Beliau juga menyifatkan Ismail Sabri seorang yang berpengalaman luas apabila berkali-kali dilantik sebagai anggota Kabinet iaitu Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selain Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Timbalan Perdana Menteri.

"Dalam kerajaan Perikatan Nasional, beliau ialah salah seorang menteri yang mewakili UMNO dan rakyat dapat melihat betapa jauh jurang perbezaan kualiti dan kredibiliti seorang menteri parti ini kerana berjaya merakyatkan kepimpinan beliau," kata bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pelantikan Ismail Sabri sebagai kebanggaan kepada rakyat Pahang atas faktor beliau merupakan anak jati dan Ahli Parlimen di negeri itu.

"Pelantikan ini diharapkan membolehkan semua pihak memberi kerjasama agar beliau dapat menjalankan tugas dan peranannya dengan berkesan lebih-lebih lagi dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 yang mencatatkan rekod baharu kes positif hari ini," katanya.

Seorang penduduk Bera, Rosli Mohd Yunan, 68, menganggap Ismail Sabri sebagai seorang yang tekun bekerja dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan penduduk serta pembangunan daerah Bera selain mudah didampingi walaupun 'menjawat jawatan tinggi.'

"Beliau tidak pilih kasih dalam menyantuni masyarakat, tidak kira orang bawahan dan sebagainya, saya dan penduduk Bera sangat gembira dan bangga dengan pelantikan beliau yang telah menempuh pelbagai rintangan dan halangan sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri.

"Insya-ALLAH, jika tidak ada aral melintang kami akan mengadakan kenduri kesyukuran malam ini dan berdoa supaya dipermudahkan segala urusan beliau dalam mentadbir negara," kata Tok Ampat Kampung Mengkarak, Bera itu. - Bernama