Inkues Adib: Orang awam turut jadi mangsa serangan perusuh

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Saksi ke 19 memberitahu dia turut menjadi mangsa serangan perusuh dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, November lalu.

Chan Wei Jie, 24, berkata ketika itu dia bersama rakan keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak USJ 12, sekitar jam 1.15 pagi, 27 November 2017.

"Kereta Perodua Kancil saya ditumbuk sekumpulan individu dan salah seorang daripadanya naik ke atas bonet hadapan dengan memegang kayu," katanya.

Dalam situasi itu, dia menganggarkan 10 individu mengelilingi keretanya.

"Saya dengar mereka jerit turun! Pergi dan berhenti.

"Saya fikir mereka ingatkan pakcik saya yang memandu kereta mahu melanggar mereka.

"Selepas mendengar saya bercakap dalam bahasa Mandarin, mereka kemudiannya berlalu pergi," katanya.

Terdahulu menjawab pemeriksaan utama oleh Pegawai Pengendali Inkues Faten Hadni Khairuddin, Wei Jie,24, berkata, kenderaannya tersekat dalam kawasan insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Secara tiba-tiba saya ternampak Fire Rescue Tender (FRT) berundur dan melanggar beberapa kenderaan antara empat hingga enam berada di belakang van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum menghentam kereta saya.

“Kereta saya berpusing 180 darjah selepas FRT langgar bahagian depan tempat pemandu,”katanya.