Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM mampu pacu keyakinan pelabur

Ismail Sabri. - Foto Bernama
Ismail Sabri. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggalas tugas sebagai perdana menteri kesembilan dijangka menyuntik keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara selain aspek peralihan kuasa yang berjalan secara lancar.

Pensyarah Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, Ismail Sabri yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, juga dijangka tidak mengemukakan sebarang dasar baharu dan sebaliknya berkemungkinan besar mempertingkat dasar-dasar sedia ada.

“Senario politik juga dijangka lebih reda dan ini menjadi peluang terbaik bagi kalangan ahli politik untuk bekerjasama demi mengurangkan masalah sosioekonomi. Malah, ini lebih ketara ketika kita menghampiri sambutan Hari Kebangsaan beberapa hari lagi,” katanya kepada Bernama.

Mengulas selanjutnya, Abu Sofian berkata, keyakinan pelabur itu turut dipacu oleh perkembangan semasa apabila tahap penduduk yang menerima suntikan vaksin Covid-19 akan terus meningkat menjelang bulan depan dan mendorong pembukaan lebih banyak sektor-sektor ekonomi.

“Ini sudah pasti akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi kita dan seterusnya menambah keyakinan pelabur asing.

“Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi akan membolehkan lebih ramai rakyat mencari kerja dan mengurangkan masalah sosial yang berbangkit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed pula menjangkakan Ismail Sabri akan meneruskan strategi libat urus dengan pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa bagi meningkatkan semula keyakinan selain melonjakkan momentum terbabit pada tahap lebih pantas.

Sambil menyifatkan pelantikan itu seiring dengan jangkaan pasaran, beliau berkata Perdana Menteri baharu itu berkemungkinan menumpukan strategi utama ekonomi untuk meraih kestabilan makroekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, kita mungkin menyaksikan usaha rangsangan ekonomi terus diperkenalkan yang dilihat perlu untuk membolehkan ekonomi di peringkat makro berupaya meningkatkan sentimen secara meluas.

“Penggiat pasaran sememangnya meletakkan harapan tinggi terhadap perdana menteri baharu ini dan Juwai IQI turut mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam menggalas tugas baharu ini,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pelabur akan mengambil kira status politik negara berikutan ketidaktentuan politik boleh menyebabkan kerugian terutamanya semasa pandemik Covid-19 masih berleluasa.

“Saya melihat pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mampu melonjak semula keyakinan pelabur yang sebelum ini gusar mengenai ketidakstabilan politik negara yang berlarutan.

“Saya yakin beliau akan memberi fokus yang khusus kepada pemulihan ekonomi dengan menambah baik dasar sedia ada kerana sektor ekonomi membentuk rantaian yang penting kepada seluruh kehidupan rakyat,” katanya.

Mohammad Tawfik berkata faktor mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri yang baharu turut mempengaruhi arah dan penentuan pelabur di negara ini.

“Sudah pasti dengan pengumuman ini bukan sahaja akan meredakan pergolakan politik negara tetapi turut mengembalikan semula matlamat ke landasan asal untuk memulihkan ekonomi negara dan meneruskan dasar-dasar yang telah dilaksanakan agar tidak digugat oleh ketidakstabilan politik,” katanya.

Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School, sebaliknya, berpendapat bahawa persoalan sama ada pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan akan memberi impak kepada keyakinan pelabur akan bergantung kepada langkah beliau yang selanjutnya.

“(Ini) terutamanya memberi tumpuan kepada pelantikan anggota Kabinet Malaysia yang baharu serta hala tuju yang akan diambil oleh beliau dalam menyediakan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan 2022. Ini amat penting dalam mewujudkan keyakinan pelabur, terutamanya pelabur antarabangsa,” katanya.

Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, telah dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dan pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.

Menurut kenyataan Istana Negara pada Jumaat, proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada Sabtu, 21 Ogos jam 2.30 petang di lstana Negara.

Ismail Sabri, 61, yang sebelum ini merupakan timbalan perdana menteri dilantik ke jawatan itu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan Perdana Menteri pada 16 Ogos, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu itu, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik Covid-19. - Bernama