Pasukan penyelamat luaskan radius pencarian mangsa

A
A
A

YAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan dua mangsa yang masih hilang diluaskan radius pencarian sehingga ke kawasan perairan.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penemuan mayat keempat di kawasan Kuala Sungai Udang pada Khamis.

Menurut beliau, pihaknya juga telah mendapatkan bantuan pasukan marin untuk melakukan rondaan di sekitar perairan lokasi yang disyaki mangsa akan hanyut dibawa arus.

"Setakat ini kita belum mendapat petunjuk berkaitan mangsa yang hilang. Bagaimanapun operasi SAR tetap diteruskan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, anggota dari Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menyertai misi pencarian pada Jumaat.

"Selain itu, kita turut mendapat bantuan daripada NGO (badan bukan kerajaan) dan jumlah keseluruhan daripada semua agensi ialah seramai 308 orang.

"Untuk esok (Sabtu) kita juga bercadang memohon bantuan daripada pasukan udara PDRM bagi melancarkan misi mencari dan menyelamat," katanya.

Shahnaz memberitahu, kekangan yang dialami oleh pasukan SAR pada ketika ini ialah keadaan muka bumi yang berlumpur, berbatu selain timbunan sisa kayu yang menyukarkan operasi kerana perlu mengambil masa yang agak lama untuk memeriksa kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, setelah perbincangan dilakukan, kita mengambil keputusan mana kawasan yang kita sudah cari dan berpuas hati, kita akan bergerak ke radius yang lebih besar," katanya.

Katanya, operasi SAR pada Jumaat ditamatkan pada jam 4 petang kerana cuaca buruk dan akan bersambung pada jam 8 pagi pada Sabtu.

Setakat ini, fenomena kepala air itu telah meragut empat nyawa manakala dua lagi mangsa masih lagi belum ditemui setelah hanyut dibawa arus dalam kejadian pada petang Rabu itu.