Kerajaan perlu hemat belanja, kurangkan jumlah kementerian

Awang Sariyan
Awang Sariyan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta berhemat menguruskan perbelanjaan negara bagi menangani krisis ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Gerakan Jihad Rakyat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, ia termasuk mengehadkan jumlah kementerian atau menyatukan bidang yang berkaitan dalam sebuah kementerian.

Menurutnya, nisbah menteri yang dilantik perlu seimbang antara pemimpin politik dengan golongan profesional untuk menjamin kecekapan dan keberkesanan kepimpinan negara.

“Keutamaan perbelanjaan negara hendaklah ditumpukan kepada usaha mengatasi pandemik Covid-19 dan kesannya dalam bidang kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Inisiatif dan pelan pemulihan yang telah dirancang oleh kerajaan dahulu perlu dilaksanakan dengan mengurangkan kerenah birokrasi dan tidak terjejas oleh ketirisan, salah guna kuasa dan ketidakadilan kerana faktor seperti kelainan fahaman politik.

“Kerajaan baharu perlu bersih daripada salah guna kuasa, rasuah, ekonomi hitam, diskriminasi berasaskan faham politik, kaum dan faktor lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, sempena penubuhan pada bulan kemerdekaan, kerajaan baharu perlu mengisytiharkan kemerdekaan negara daripada rasuah, salah guna kuasa, nepotisme dan favoritisme.

Menurutnya, individu yang terbabit dengan perbuatan itu tidak boleh sekali-kali diberi ruang dalam kepemimpinan negara, negeri dan institusi berkepentingan termasuk sesiapa yang masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan baharu hendaklah benar-benar memastikan pemisahan tiga juzuk penting negara, iaitu penggubal undang-undang, eksekutif dan kehakiman.

“Salah satu punca tidak berkesannya pelaksanaan dasar dan undang-undang negara ialah pertelingkahan dan campur tangan antara ketiga-tiga entiti yang sepatutnya saling melengkapi dan memperkukuh perjalanan pentadbiran negara,” jelasnya.