Jualan Sinovac bantu lonjak pendapatan, keuntungan Pharmaniaga

No Image Caption
A
A
A

KEUNTUNGAN bersih Pharmaniaga Bhd untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2021 melonjak kepada RM13.7 juta daripada RM9.98 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan menokok 82 peratus kepada RM1.2 bilion berbanding tahun lepas disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi dari semua segmen termasuk perniagaan di Indonesia.

"Peningkatan yang ketara dalam perniagaan bukan konsesi terhasil daripada penjualan vaksin Sinovac Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan (KKM)," kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Seiring dengan perolehan yang agak tinggi, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) mencatatkan pertumbuhan 28 peratus kepada RM39 juta daripada RM30 juta.

Sejajar dengan itu, keuntungan sebelum zakat dan percukaian (PBT) untuk suku tersebut mencatatkan pertumbuhan 55 peratus kepada RM22 juta daripada RM14 juta yang direkodkan dalam suku yang sama sebelum ini.

Prospek kumpulan tetap mantap dan ia bersedia untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan Malaysia.

Sebagai syarikat farmaseutikal yang terkemuka, Pharmaniaga berada dalam posisi yang baik bagi memanfaatkan limpahan peluang yang ditawarkan oleh sektor penjagaan kesihatan yang semakin berkembang.

Kumpulan telah mengambil langkah proaktif untuk mempercepatkan penyediaan vaksin Sinovac kepada kerajaan dengan mengimport vaksin siap dari Sinovac, yang diedarkan selari dengan pembekalan vaksin sedia ada dari kilangnya sendiri di Puchong.

Artikel Berkaitan:

Ia telah berjaya menyiapkan kumpulan terakhir vaksin Covid-19 berjumlah 12.4 juta dos kepada kerajaan pada 21 Julai 2021, 4.5 bulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Tambahan pula, kumpulan ini juga telah menyampaikan tambahan dua juta dos kepada kerajaan pada akhir Julai lepas.

Pada 11 Ogos, kumpulan itu menerima pesanan dari kerajaan untuk gabungan pembelian tambahan sebanyak enam juta dos produk vaksin siap import.

"Melangkah ke hadapan, berdasarkan kemampuan Pharmaniaga untuk terus membuat pengisian dan menyiapkan vaksin Sinovac Covid-19, kami berkemampuan serta berada dalam posisi strategik bagi membekalkan vaksin kepada pusat, kerajaan negeri termasuk sektor swasta dalam memastikan bahawa urusan proses vaksinasi berjalan dengan lancar," katanya. -Bernama