Stok bekalan darah di HTJ berkurang 25 peratus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Stok bekalan darah bagi semua kumpulan darah di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini mengalami penurunan sebanyak 25 peratus, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan S. Veerapan.

Beliau berkata, trend penurunan itu amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan keupayaan dalam merawat pesakit yang menghidap penyakit kronik.

Menurutnya bekalan darah adalah penting bagi membantu pesakit termasuk dalam hal kecemasan seperti pendarahan dalam kes-kes kemalangan, komplikasi semasa bersalin dan bayi pramatang, selain membantu pesakit talasemia, kanser, kegagalan buah pinggang dan mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal seperti pembedahan jantung, otak dan sebagainya.

“Tambahan pula, terdapat ramai pesakit Covid-19 terutamanya mempunyai sejarah penyakit kronik, dan wanita hamil turut memerlukan transfusi darah," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Veerapan seterusnya menyambut baik usaha Pusat Kutipan Darah Negeri Sembilan yang menjalankan beberapa inisiatif bagi meningkatkan bekalan darah dengan mengadakan kempen dalam talian serta menggalakkan sukarelawan untuk menderma darah di Unit Tabung Darah Hospital setiap daerah di negeri ini.

Beliau berkata, setiap aktiviti derma darah perlu mematuhi prosedur operasi standard berdasarkan Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Semasa Aktiviti Pendermaan Darah bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dan menjamin keselamatan orang ramai. - Bernama

Artikel Berkaitan: