Pemimpin parti politik ucap tahniah kepada Ismail Sabri

Gambar dari kiri: Azmin, Mujahid Yusuf Rawa - foto Bernama, Syed Saddiq.
Gambar dari kiri: Azmin, Mujahid Yusuf Rawa - foto Bernama, Syed Saddiq.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin utama daripada pelbagai parti politik mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas sah dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Antara yang terawal menzahirkan ucapan tahniah ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang akan membantu Ismail Sabri menerusi apa jua kapasiti yang ada demi kepentingan negara tercinta.

“Insya-ALLAH, saya akan bantu sebaiknya menerusi apa jua kapasiti yang saya ada demi kepentingan negara tercinta. Selamat menjalankan amanah Datuk Seri (Ismail Sabri). Semoga ALLAH merahmati ketentuan ini. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya dalam hantaran Facebook beliau pada Jumaat.

Selain itu, Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula yakin Naib Presiden UMNO itu akan meneruskan usaha membina Malaysia yang gagah dan wibawa.

"Alhamdulillah. Tahniah @IsmailSabri60. Teguh kita, menang bersama," katanya dalam satu ciapan di akaun Twitternya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya berharap agar semua pihak sama ada ahli politik, jentera kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada perdana menteri yang baharu dalam agenda memerangi Covid-19 serta membaik pulih ekonomi seperti yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Saya mewakili Pemuda Pas Malaysia serta Pemuda Perikatan Nasional (PN) mendokong titah Seri Paduka Baginda agar diteruskan segala usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara ciapan pemimpin utama daripada pelbagai parti politik mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas sah dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Antara ciapan pemimpin utama daripada pelbagai parti politik mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas sah dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa turut mengucapkan syabas kepada Ismail Sabri di atas kemenangan beliau merebut jawatan nombor satu negara.

"Syabas kepada Perdana Menteri kesembilan yang menang dan tahniah juga kepada calon yang mencuba, sentiasa kukuh dan tenang.

"Kuasa Raja Berperlembagaan kita junjung, kitaran kegagalan kita yang tanggung, sama-samalah kita harungi, Covid-19 tetap diperangi," katanya.

Bagi Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, beliau akan terus berkhidmat sebagai ahli Parlimen pembangkang bagi membawa idea dasar dan semak imbang terhadap setiap keputusan kerajaan

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Naib Presiden UMNO itu mendapat sokongan majoriti 114 ahli Dewan Rakyat berdasarkan surat akaun yang diterima Seri Paduka Baginda.