BN Perak harap semua pihak henti polemik politik

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Semua pihak perlu menghentikan segala polemik politik serta mengetepikan perbezaan setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah memberi perkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Jumaat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan kemashalatan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Menurutnya, BN Perak yakin dengan ketokohan dan pengalaman Ismail Sabri untuk mengembalikan kestabilan politik sekali gus membawa tumpuan semua pihak dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat.

"Proses pelantikan Perdana Menteri yang dijalankan secara tertib dengan mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu serta suara ahli-Ahli Parlimen mencerminkan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam menangani krisis politik supaya tidak terus berlarutan.

"Kami menyeru semua pihak untuk bermuhasabah dan mengambil teladan daripada penzahiran harapan Seri Paduka Baginda supaya semua pihak menghentikan polemik politik serta mengetepikan perbezaan bagi memastikan kemashalatan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, BN Perak menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, beliau berkata, penghargaan juga harus diberikan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berlapang dada untuk bersetuju menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.

Jelasnya, harapan besar kini adalah mahu melihat kerajaan yang ada ini akan terus stabil bagi memastikan keharmonian politik dan kelangsungan kehidupan rakyat.

Artikel Berkaitan: