Israel umum 'mekanisme baharu' dana untuk penduduk Gaza

Penduduk Palestin menerima bantuan wang tunai disalurkan Qatar di sebuah pejabat pos di bandar Gaza. - Foto: Agensi
Penduduk Palestin menerima bantuan wang tunai disalurkan Qatar di sebuah pejabat pos di bandar Gaza. - Foto: Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Israel pada Khamis mengumumkan ‘mekanisme baharu’ untuk dana kemanusiaan disalurkan Qatar untuk penduduk Palestin di Genting Gaza selepas ia menyekat bantuan itu atas alasan enggan ia jatuh ke tangan Hamas setelah konflik terbaharu tercetus pada Mei lalu.

Menteri Pertahanan, Benny Gantz berkata, rejim Tel Aviv tidak lagi akan menerima pakai status quo yang dilaksanakan sebelum ini.

“Di bawah mekanisme baharu itu, Israel akan mengawasi bantuan kewangan yang dipindahkan secara terus kepada akaun bank ratusan ribu penduduk Gaza,” ujarnya ketika menjelaskan tentang pendekatan ‘lebih lembut’ terhadap Palestin beberapa hari selepas ia menerima bantuan untuk mengawal kebakaran hutan di Baitulmaqdis.

Menurutnya lagi, ia juga berunding dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mentadbir Tebing Barat tentang mekanisme alternatif untuk pemindahan dana ke Gaza di bawah pengawasan mereka.

Sementara itu, Duta Qatar ke Gaza, Mohammaed al-Emadi berkata, bantuan Doha kepada wilayah yang berada di bawah kepungan haram Israel itu akan disalurkan kepada Program Makanan Sedunia (WFP) yang pada awalnya dijangka memberi manfaat kepada 100,000 keluarga.

Sumber yang mengetahui tentang butiran mekanisme baharu tersebut memaklumkan pemindahan dana tersebut akan dilakukan kepada akaun bank PBB di New York dan dipindahkan kepada Ramallah sebelum diagihkan ke Gaza.

“Penerima bantuan di Gaza yang diluluskan Israel akan diberikan kad kredit PBB untuk mengeluarkan wang tersebut,” katanya lagi sambil menambah Qatar akan memindahkan AS$10 juta (RM42 juta) kepada PBB pada minggu depan.

Beberapa hari selepas gencatan senjata untuk meredakan konflik Israel-Palestin dicapai pada Mei lalu, Doha turut berjanji untuk menyalurkan dana bantuan berjumlah AS$500 juta (RM2.1 bilion) bagi pembinaan semula wilayah tersebut.- Agensi

Artikel Berkaitan:


Info:


>Sejak beberapa tahun lalu, Qatar telah menyalurkan ratusan juta dolar kepada keluarga miskin di Gaza. Dana bantuan itu menjadi sumber kestabilan utama wilayah tersebut yang dianggarkan berdepan 50 peratus kadar pengangguran.

>Sejak perang selama 11 hari pada Mei lalu, Israel menyekat dana itu.

>Di bawah sistem lama, wang tunai berjumlah kira-kira AS$30 juta (RM127 juta) dihantar melintasi sempadan Israel ke Gaza pada setiap bulan.

Jawatankuasa Pembinaan Semula Genting Gaza di Doha memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PBB untuk mengagihkan AS$100 (RM424) kepada kira-kira 100,000 keluarga Palestin di Gaza bermula bulan depan.