Pelantikan Ismail Sabri diharap hentikan polemik politik negara

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan akan menghentikan polemik politik dalam negara.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan perlu segera mengembalikan tumpuan kerja kepada menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat serta membina semula ekonomi negara.

“Rakyat sudah penat dengan kemelut politik terutama pada waktu pandemik ini.

“Sejak awal lagi Bersatu sentiasa konsisten bahawa tumpuan utama kita mestilah kepentingan rakyat. Dengan pelantikan Ismail Sabri, sekarang adalah masa untuk kembali kepada keutamaan itu,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Naib Presiden UMNO itu mendapat sokongan majoriti 114 ahli Dewan Rakyat berdasarkan surat akaun yang diterima Seri Paduka Baginda.

Wan Saiful menambah, Bersatu menjunjung kasih atas perkenaan Yang di-Pertuan Agong melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Bersatu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan ini.

Artikel Berkaitan:

“Beliau merupakan calon yang disepakati oleh Bersatu dan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional atas keyakinan kami bahawa beliau akan dapat membawa negara ke arah kestabilan demi meneruskan usaha-usaha yang telah dimulakan oleh kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Menurutnya, Bersatu turut mendoakan Ismail Sabri sentiasa dalam panduan ALLAH SWT sepanjang menjalankan tanggungjawab mengemudi negara.

“Berteraskan kehendak Perlembagaan dan prinsip-prinsip tadbir urus yang berintegriti, telus, menghormati pengasingan kuasa, melindungi kebebasan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berpelembagaan,” jelasnya.