BUCG tidak sepatutnya terlibat dalam mesyuarat sedia dokumen RFP

Guan Eng tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.
 Foto Bernama
Guan Eng tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.
 Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen pada Jumaat diberitahu bahawa syarikat Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (BUCG) tidak sepatutnya terlibat dalam mesyuarat atau perbincangan bagi penyediaan dokumen permintaan untuk cadangan (RFP) jika projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang ditawarkan secara tender terbuka.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow iaitu Muhamad Azrai Mohamad Zaini, 39, berkata beliau berpandangan bahawa penglibatan syarikat BUCG pada peringkat awal penyediaan dokumen RFP iaitu sebelum tender terbuka diiklankan akan memberi kelebihan kepada syarikat itu sendiri berbanding dengan syarikat lain yang turut berminat menyertai tender terbuka.

"Saya tahu bahawa projek ini akan dianugerahkan secara tender terbuka oleh Kerajaan Negeri. Saya juga tahu bahawa, wakil syarikat BUCG iaitu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli hadir untuk membantu Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam menyediakan dokumen RFP yang akan ditawarkan secara tender terbuka selepas dokumen RFP tersebut siap.

"Jika secara tender terbuka, saya rasa syarikat BUCG tidak sepatutnya hadir dalam mesyuarat atau perbincangan bagi penyediaan dokumen RFP itu. Ini adalah kerana, pihak syarikat BUCG tidak sepatutnya terlibat dalam mana-mana proses penyediaan dokumen RFP.

"Saya tahu terdapat pindaan dibuat ke atas draf dokumen RFP dan ia memberi kelebihan kepada pihak BUCG mengetahui setiap butiran dalam dokumen RFP termasuk skop kerja setiap projek, anggaran kos, kelayakan yang ditetapkan terhadap pembida tender, syarat-syarat teknikal dan kewangan, lebih awal daripada syarikat-syarikat pembida yang lain sebelum RFP diiklankan," katanya.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ketujuh perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), yang merupakan syarikat usaha sama dengan BUCG telah dilantik bagi menjalankan projek tersebut.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengenai konflik kepentingan apabila pihak BUCG dipanggil untuk penyediaan dokumen RFP, Muhamad Azrai berkata pada pendapatnya, perkara itu berlaku apabila sesebuah syarikat terlibat dalam penyediaan RFP dan kemudian menyertai RFP itu sebagai pembida.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Azrai yang sebelum ini memegang jawatan Penolong Pengarah (Kerja Raya, Utiliti & Pengangkutan) di UPEN Pulau Pinang dari 2010 hingga 2016 berkata beliau menerima arahan daripada Datuk Lim Hock Seng yang ketika itu Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan untuk memanggil pihak-pihak yang terlibat untuk menghadiri mesyuarat pada 11 Julai 2011.

"Saya mengesahkan bahawa ini adalah perbincangan kali ketiga antara wakil kerajaan negeri Pulau Pinang dengan wakil BUCG berkaitan penyediaan dokumen RFP bagi projek tiga jalan utama dan terowong. Saya juga mengesahkan bahawa ini adalah pertemuan ketiga saya dengan Datuk Zarul yang ketika itu Pengerusi Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd," katanya.

Disoal Wan Shaharuddin mengapa saksi itu tidak melaporkan kepada Datuk Mokhtar Jait yang ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bagi projek-projek infrastuktur mega di Pulau Pinang mengenai penglibatan wakil dari BUCG dalam penyediaan dokumen RFP.

Muhamad Azrai menjawab: “Ketika itu saya masih lagi junior officer yang kurang pengalaman dan pengetahuan. Saya anggap apa sahaja yang saya lakukan berada di bawah pengetahuan bos dan ketika itu saya merasakan tiada keperluan untuk saya maklumkan penglibatan BUCG ini kepada pengerusi (Mokhtar).”

Mengenai kajian projek pembinaan terowong, Muhamad Azrai berkata BUCG telah melantik perunding dari China dan Malaysia untuk mengkaji projek tersebut dan semasa mesyuarat pada 10 Mei, BUCG menyatakan terdapat kesukaran untuk menjalankan projek tersebut, namun kerajaan negeri tetap meneruskan projek itu.

Sementara itu, semasa disoal balas peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, saksi itu bersetuju bahawa Guan Eng tidak terlibat dalam tiga mesyuarat berkenaan kerana ia dikendalikan oleh Exco dan pakar-pakar dari kerajaan negeri.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut, yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 10 September ini. - Bernama