Covid-19: Sarawak rekod 2,548 kes, tertinggi selepas 16 Ogos

Jumlah kes harian baharu Covid-19 di Sarawak buat pertama kali melepasi angka 2,000 apabila 2,548 kes dicatatkan hari ini.
Jumlah kes harian baharu Covid-19 di Sarawak buat pertama kali melepasi angka 2,000 apabila 2,548 kes dicatatkan hari ini.
A
A
A

KUCHING - Jumlah kes harian baharu Covid-19 di Sarawak buat pertama kali melepasi angka 2,000 apabila 2,548 kes dicatatkan hari ini, sekali gus menjadikannya angka harian tertinggi direkodkan di negeri ini sejak pandemik tersebut melanda negara ini tahun lalu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan Kuching merekodkan kes harian tertinggi iaitu 1,601 kes, diikuti Serian (240), Bau (131) dan Samarahan dengan 116 kes.

“Sejumlah 2,547 atau 99.96 peratus kes hari ini adalah dalam kategori satu (tiada gejala) dan dua (gejala ringan) manakala baki satu kes kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator),” menurut JPBN.

Pertambahan kes baharu ini juga menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Sarawak kini mencecah 94,564 kes.

Kes harian tertinggi pernah direkodkan sebelum ini adalah 1,566 kes pada 16 Ogos.

Sementara itu, susulan peningkatan kes Covid-19 pada Jumaat, JPBN mengambil keputusan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) selama seminggu di Zon Selatan (Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu) bermula esok.

“Aktiviti dine-in (makan di premis) tidak dibenarkan, tempoh operasi perniagaan juga dipendekkan dari jam 5 pagi hingga 8 malam dan individu atau kumpulan tidak dibenarkan berada di kawasan awam selepas 10 malam tanpa alasan munasabah,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: