Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM baharu banggakan rakyat Pahang

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan merupakan satu kebanggaan kepada rakyat Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia kerana Ahli Parlimen Bera itu anak jati negeri ini.

Menurutnya, melalui pelantikan itu, semua pihak diharap dapat memberi kerjasama agar Perdana Menteri baharu itu dapat menjalankan tugas dan peranannya dengan berkesan.

"Lebih-lebih lagi dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19 yang mana pada hari ini (Jumaat) mencatat rekod baharu dengan lebih 23,000 kes," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy turut mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri baharu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada Jumaat.

Pelantikan Ismail Sabri itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Melalui kenyataan media sebelum ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al -Sultan Abdullah telah menerima jumlah majoriti yang mencukupi dari ahli Dewan Rakyat untuk melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Daripada surat-surat akuan tersebut, seramai 114 ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri dengan jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.