Hina Agong: GPMS Kemaman tampil buat laporan polis

Ahmad Amri Kursani Hassan (dua kanan, depan) bersama sebahagian ahli jawatankuasa GPMS cawangan Kemaman menunjukkan salinan laporan polis selepas selesai membuat laporan.
Ahmad Amri Kursani Hassan (dua kanan, depan) bersama sebahagian ahli jawatankuasa GPMS cawangan Kemaman menunjukkan salinan laporan polis selepas selesai membuat laporan.
A
A
A

KEMAMAN - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Kemaman pada Khamis tampil membuat laporan polis terhadap pemilik sebuah akaun Twitter kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sejak 23 Julai lalu.

Naib Yang Dipertuanya, Ahmad Amri Kursani Hassan tampil membuat laporan polis berkenaan jam 4.30 petang di Balai Polis Air Jernih, di sini pada Khamis.

Beliau mendakwa, semasa berada di rumahnya di Kemasik, di sini ada melihat beberapa tulisan berbaur menghina Agong di laman akaun Twitter milik suspek, kira-kira jam 2 petang, pada Rabu lalu.

"Laporan ini dibuat mengambil tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia yang patuh kepada rukun negara.

"Saya percaya bahawa kandungan status yang dikeluarkan oleh individu tersebut dipercayai bermaksud untuk menghasut atau sekurang-kurangnya mempunyai risiko untuk menghasut kebencian terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Dakwa beliau lagi, selain itu, penulisan individu tersebut bermaksud untuk mencetuskan provokasi untuk mengganggu-gugat keamanan dengan mempertikaikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan sistem Raja Berperlembagaan.

"Setiap laporan dibuat saya juga mengepilkan beberapa bukti berkaitan penulisan di laman akaun Twitter tersebut dan diharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan perkara itu yang dibuat di Balai Polis Air Jernih, di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesalahan itu boleh disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menyebut apa-apa perkataan menghasut yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan serta di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.