Perlu tindakan lebih tegas terhadap pemilik ladang ternakan ayam

Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil dari kiri: Abd Latif, Abd Aziz, Kwee Hin
Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil dari kiri: Abd Latif, Abd Aziz, Kwee Hin
A
A
A

TAMPIN - Tindakan penguatkuasaan lebih tegas perlu diambil terhadap mana-mana pemilik ladang ternakan ayam yang menyebabkan pencemaran alam sekitar di Gemencheh terutamanya di kawasan Air Kuning di sini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Air Kuning, Chin Kwee Hin berkata, ia termasuk mengkaji semula nilai kompaun yang dikenakan kepada pemilik yang dikenal pasti dengan satu nilai yang lebih munasabah supaya hal itu tidak berulang.

"Kami bimbang jika mereka ini dikompuan dengan nilai yang rendah, perbuatan (pencemaran) dikhuatiri berlaku lagi, mereka tidak serik.

"Justeru, kami berharap pihak berkuasa mengambil maklum hal ini seterusnya isu pencemaran tidak lagi berlaku di sini kerana ia mengganggu urusan harian penduduk setempat," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Dalam pada itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Abd Latif A. Tambi berkata, rata-rata penduduk terlibat melahirkan rasa kecewa dengan isu pencemaran ini.

Katanya, pihaknya mengambil serius semua aduan yang dibangkitkan oleh penduduk malah sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa supaya isu pencemaran itu tidak berlarutan.

"Kami turut mencadangkan supaya pemantauan secara kerap dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap semua ladang ternakan ayam di Gemencheh amnya melibatkan sekurang-kurangnya 26 ladang yang berlesen.

"Ladang ternakan ayam ini ada yang sudah beroperasi lebih 10 tahun dan seharusnya sistem kumbahannya juga selari dengan perkembangan teknologi semasa iaitu lengkap dari segala segi seterusnya tidak memberi gangguan kepada penduduk setempat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, turut menyokong supaya nilai kompuan berkenaan dikaji semula memandangkan ia membabitkan soal kesihatan penduduk.

Sementara itu, penduduk merangkap Pengerusi MPKK Parit Buluh, Abdul Aziz Kamis mahu semua pemilik ternakan ayam di Gemencheh mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan pihak berkuasa.

"Hal seperti ini memerlukan kerjasama erat semua pihak, jika masing-masing mempunyai tanggungjawab dan tahu akan peranan mereka, hal-hal seperti ini tidak akan berlaku," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, sebuah ladang ternakan ayam di Air Kuning, Gemencheh dikenakan kompaun RM500 selepas didapati menyebabkan pencemaran ke atas Sungai Air Kuning pada 8 Ogos lepas.

Katanya, tindakan kompaun itu dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan selepas melakukan siasatan di lokasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Ladang ternakan ayam dikompaun sebabkan pencemaran sungai