Sisa buangan Selangor tertinggi

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mencatatkan peningkatan sisa buangan terjadual pada kadar tahunan 8.3 peratus bagi tempoh 2015 hingga 2019 dengan 4,013.2 tan metrik telah dihasilkan pada 2019.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Selangor merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 1,019.9 tan metrik malah turut mendominasi buangan klinikal sebanyak 7,300 tan metrik pada 2019 berbanding negeri lain.

Tambah beliau, sisa buangan tersebut merupakan kategori yang tersenarai dalam Jadual Pertama Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Antara industri yang menyumbang kepada buangan terjadual pada 2019 di peringkat nasional ialah aktiviti loji janakuasa dengan sumbangan 24.2 peratus diikuti pengilangan logam (12.2 peratus), industri kimia (10.7 peratus) dan elektrik & elektronik (10.1peratus).

“Di samping itu, sisa klinikal dijangka meningkat secara signifikan kerana kes positif Covid-19 pada 2020.

“Peningkatan kes positif ini seiring dengan peningkatan tenaga kerja di kemudahan kesihatan dan pusat kuarantin yang secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan volum sisa klinikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, laporan World Bank’s bertajuk 'What a Waste 2.0: A Global Snapshot of Solid Waste Management to 2050' mengunjurkan sisa buangan global akan meningkat sebanyak 70 peratus kepada 3.4 bilion tan metrik pada 2050 (2016: 2.01 bilion tan metrik) sekiranya sistem pengurusan sisa tidak diuruskan dengan sewajarnya.

Jelasnya, laporan tersebut turut menyatakan bahawa sistem pengurusan sisa yang cekap amat penting untuk pembangunan ‘circular economy’.

Artikel Berkaitan:

“Reka bentuk produk dioptimumkan untuk digunakan semula yang akan mendorong kepada pertumbuhan ekonomi lebih efisien di samping meminimumkan kesan terhadap alam sekitar,” ujarnya.