'Bunyi dentuman kuat rupanya anak saya jatuh...'

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan. Gambar kecil: Rusazuan
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan. Gambar kecil: Rusazuan
A
A
A

NILAI - Seorang bapa tidak menyangka bunyi dentuman kuat yang didengar di kediamannya di Flat Taman Bukit Inai di sini, pada Khamis rupa-rupanya bunyi anak perempuannya berusia 13 tahun dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan.

Paling memilukan apabila kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu berlaku ketika Rusazli Azmi, 40-an sedang mencari anaknya selepas dia didapati tiada di rumah.

Menceritakan kejadian, bapa saudara mangsa, Rusazuan Azmi, 33, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu selepas dihubungi bapa arwah merupakan abangnya.

"Pada waktu itu saya baru saja sampai di rumah selepas pulang dari tempat kerja dan abang saya telefon beritahu anak dia jatuh.

"Saya terus bergegas ke lokasi dan waktu itu arwah masih bernyawa sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) di Seremban," katanya yang tinggal di perumahan sama.

Jenazah Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Batang Benar, Nilai.
Jenazah Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Batang Benar, Nilai.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia difahamkan ketika kejadian itu, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa hanya tinggal berdua dengan kakaknya yang berusia 17 tahun.

Bagaimanapun katanya, ibu mangsa yang pulang ke rumah lebih awal mendapati mangsa tiada di rumah.

"Abang saya yang sampai ke rumah kemudiannya mencari mangsa di kawasan sekitar perumahan kami, tapi tiba-tiba terdengar bunyi dentuman seperti ada sesuatu jatuh.

"Dia kemudian berlari ke arah bunyi tersebut tapi sangat mengejutkan kerana yang jatuh itu adalah anaknya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Jabatan Forensik HTJ di sini pada Jumaat.

Kata Rusazuan, dia tidak mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Arwah ini anak nombor empat daripada enam beradik dan ketika kejadian ibu bapanya sedang berniaga.

"Mengikut kata abang saya (ayah mangsa) sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan yang dia mempunyai masalah dan dalam keadaan baik saja," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kematian mangsa.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Fazley Ab Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat di bawah kes mati mengejut.