23,564 kes baharu, Malaysia rekod kes harian tertinggi

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Angka kes positif Covid-19 melepasi 23,000 apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 23,564 individu positif Covid-19 pada Jumaat.

Jumlah itu merupakan kes tertinggi selama tiga hari berturut-turut direkodkan sejak Rabu.

Sarawak negeri terbaharu melaporkan kes melebihi 2,000 iaitu (2,548), selepas Sabah (2,738) dan Selangor (6,974).

Bagaimanapun kes baharu di Kedah dilapor sedikit menurun berbanding Khamis, 2,137 kes iaitu 1,932.

Kuala Lumpur merekodkan 1,652 kes, Pulau Pinang (1,523), Kelantan (1,281), Perak (1,248), Melaka (608), Pahang (610), Terengganu (521), Perlis (64), Putrajaya (24) dan Labuan (satu).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes harian yang dilaporkan, 431 kes adalah daripada kategori tiga hingga lima.

"Sebanyak 23,133 kes lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, secara keseluruhan, 19,362 kes daripada jumlah kes yang dilaporkan tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan kes positif di seluruh negara adalah 1,513,024 kes," katanya.

Beliau berkata, terdapat 257,417 kes aktif di seluruh negara iaitu 1,062 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Seramai 518 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 233 kes kematian dilaporkan membabitkan 199 rakyat tempatan dan 34 warga asing.

Kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) kembali meningkat kepada 60.

Ia melibatkan 44 warganegara dan 16 warga asing.

Menurutnya, kes sembuh terus mencatat peningkatan yang baik dengan pertambahan 21,448 kes sekaligus menjadikan jumlah keseluruhannya, 1,241,894 kes.

Sementara itu, 38 kluster baharu dikenalpasti yang terdiri daripada 22 kluster tempat kerja dan 14 kluster komuniti.

Turut dikenalpasti, masing-masing satu kluster pendidikan lain dan pendidik swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Jumlah keseluruhan kluster yang telah dikesan adalah 4,386 dan 2,964 telah diisytiharkan tamat.

"Bakinya, 1,422 lagi masih aktif," katanya.