91,782 peneroka Felda tandatangan perjanjian pelarasan pinjaman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 91,782 iaitu hampir 82 peratus peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah menandatangani perjanjian pelarasan pinjaman sehingga Rabu lalu sejak inisiatif itu diumumkan pada Julai.

Felda dalam kenyataannya pada Jumaat berkata, perkembangan itu menunjukkan penerimaan yang cukup baik daripada peneroka dan menjangkakan ia akan terus meningkat selepas beberapa insentif tambahan diumumkan, selain tempoh penerimaan tawaran turut dilanjutkan sehingga akhir bulan ini.

Menurut kenyataan itu, surat tawaran bagi insentif kos tanam semula turut akan dikeluarkan kepada peneroka yang layak dalam masa terdekat.

“Peneroka dalam kategori ini adalah mereka yang tidak mempunyai pinjaman atau mempunyai hutang kurang RM5,000 dan Felda akan menanggung kos tanam semula (mereka) selepas ditolak caruman tanam semula oleh peneroka, tertakluk pada jumlah maksimum RM43,200 (bagi keluasan ladang 10 ekar atau 4.04 hektar).

“Peneroka yang tidak bersama Felda juga ditawarkan 50 peratus daripada jumlah insentif ini iaitu sebanyak RM21,600,” kata kenyataan itu.

Menurut Felda pelarasan pinjaman itu adalah jalan terbaik kepada peneroka kerana jumlah bayaran pinjaman kebun yang ditawarkan jauh lebih rendah dan mampu dibayar.

Pelarasan pinjaman tersebut juga adalah bagi mengukuhkan konsep kebersamaan antara peneroka dan Felda, justeru, syarat penerimaan yang ditetapkan adalah peneroka harus menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda dan menghantar hasil melalui Felda.

“Felda menjamin jumlah pinjaman peneroka adalah jumlah yang telah diaudit secara profesional, merangkumi semua pinjaman lama yang tidak pernah dimuktamadkan dan tidak sepatutnya menimbulkan sebarang keraguan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang isu dan maklumat tambahan, peneroka masih boleh merujuk kepada pengurusan rancangan masing-masing untuk semakan semula,” menurut kenyataan itu.

Felda berkata, bagi meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti ladang, inisiatif pelarasan tersebut akan disokong dengan usaha intensif lain termasuk menerusi amalan pertanian pintar seperti sistem ‘Smart Plantation Management Solution’.

Sistem itu yang mula dilaksanakan di ladang-ladang Felda dijangka dapat menjimatkan kos baja sehingga RM43 juta setahun, sekali gus membolehkan peneroka meningkatkan pendapatan dan melunaskan semua pinjaman sehingga pusingan tanam semula berikutnya.- Bernama